Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kuala Lumpur: Syarikat telekomunikasi (Telco) memberi sokongan penuh ke atas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam usahanya untuk menentukan penyelesaian terbaik bagi isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan prabayar mudah alih.

Bagaimanapun, mereka berpendapat, pelaksanaan ini memerlukan masa kerana ia membabitkan banyak pihak dalam ruang lingkup sistem prabayar itu sendiri seperti proses mengemas kini bahagian belakang, latihan untuk barisan hadapan serta penyediaan bahan komunikasi untuk pengguna.

“Pasaran prabayar merupakan satu ekosistem yang kompleks. Oleh itu, ia akan menjadi satu cabaran bagi mana-mana penyedia perkhidmatan mudah alih untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan dalam notis yang pendek,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) U Mobile, Wong Tuck Heang.

Nilai rantaian ini menjadi lebih rumit dengan pelbagai pilihan pengisian tambah nilai prabayar seperti kad fizikal, tambah nilai secara maya, Internet dan perbankan mudah alih serta mesin ATM, katanya.

Sembilan puluh peratus daripada pelanggan U Mobile adalah pengguna prabayar dan 10 peratus lagi terdiri daripada pascabayar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 7:53 AM