FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Kuala Lumpur: Tune Protect Malaysia (Tune Protect) menghulurkan menawarkan pembayaran ihsan sehingga RM200 setiap seorang kepada penumpang terjejas yang telah membeli Insurans Perjalanan Tune Protect untuk penerbangan mereka yang dibatalkan MYAirline.

Pembayaran ihsan ini dikira berdasarkan 50 peratus daripada harga tiket penerbangan, tertakluk kepada maksimum RM200 bagi setiap penumpang.

Tune Protect berkata, walaupun penggantungan operasi syarikat penerbangan tidak berada di bawah perlindungan Insurans Perjalanan Tune Protect, Syarikat memahami kesulitan dan kerugian akibat insiden yang dikesali bagi penumpang yang terjejas ini.

"Sebagai tindak balas, Tune Protect mengambil langkah proaktif untuk menawarkan sedikit bantuan," kata syarikat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta berkata, pihaknya meminta pelanggan yang terjejas untuk menghubungi pihaknya bagi mendapatkan bantuan pembayaran ihsan.

"Walaupun insiden seperti ini biasanya tidak dilindungi oleh syarikat insurans, tetapi kami memahami perasaan pelanggan dan ingin meluaskan sokongan kami di luar tradisi bidang perlindungan insurans," katanya.

Tune Protect telah menetapkan syarat-syarat dan terma pembayaran untuk membantu penumpang MYAirline yang telah membeli Insurans Perjalanan Tune Protect.

Ia termasuk perjalanan yang dibatalkan harus dilindungi oleh Insurans Perjalanan Tune Protect, polisi itu harus dibeli sebelum 12 Oktober 2023 dan tidak pernah dibatalkan,tarikh permulaan polisi mestilah dari 12 Oktober 2023 dan seterusnya serta pembayaran ini berjumlah sebanyak 50 peratus daripada harga tiket penerbangan, selepas sebarang diskaun, tertakluk kepada had maksimum RM200 bagi setiap penumpang.

Penumpang perlu memuat turun dan lengkapkan, serta simpan borang tuntutan PDF yang boleh diubahsuai daripada laman web Tune Protect di https://www.tuneprotect.com/products/travel-easy-insurance/ dan emelkan ke [email protected].

Penumpang juga perlu menyertakan jadual perjalanan daripada MYAirlines dan invois tiket penerbangan yang dibeli dari MYAirlines.

Selepas permohonan diterima, ia akan disemak dan sekiranya diluluskan, pembayaran akan dibuat dalam masa tiga hari berkerja dari tarikh kelulusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 12:51 PM