NAIB Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San
NAIB Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San

MGB Bhd, anak syarikat LBS Bina Group Bhd yang terbabit dalam penyelesaian pembinaan dan pembangunan hartanah mencatatkan keuntungan selepas cukai RM12.41 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, dengan pendapatan diraih sebanyak RM233 juta.

Keputusan kukuh itu dijana daripada projek seperti Idaman BSP daripada projek Rumah Idaman MBI serta KITA Mekar dan KITA Mesra di bawah perbandaran KITA @ Cybersouth.

Di samping itu, MGB berjaya mengoptimumkan kos pembinaan di dalam persekitaran perniagaan yang mencabar, sekali gus menyumbang kepada keuntungan kumpulan.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, kumpulan gembira dengan keputusan baik yang konsisten, bermula dari suku pertama tahun kewangan 2023.

"Buku pesanan pembinaan tertunggak kami (termasuk projek dalaman MGB) yang berjumlah RM 1.87 bilion dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.34 bilion daripada sembilan projek yang dibilkan di bawah segmen pembangunan hartanah kekal stabil dan mampu mengekalkan trajektori pertumbuhan MGB untuk baki tahun ini.

"Usaha sama terbaharu kami di Arab Saudi bersama Sany Alameriah Industrial adalah kemuncak perniagaan dengan pemeteraian perjanjian usaha sama di antara kedua-dua pihak, yang berlangsung pada 27 Julai lalu. Dengan usaha sama ini, kami berharap untuk melebarkan sayap dan jenama MGB di peringkat antarabangsa.

"Sementara itu, projek Rumah Idaman MBI terus mendapat sambutan menggalakkan, terutamanya Idaman Cahaya Fasa 2 yang dilancarkan baru-baru ini. Perkembangan positif ini turut menyumbang kepada keputusan Syarikat pada suku akan datang," katanya dalam kenyataan.

Hock San berkata, kumpulan optimis dan berhati-hati dalam setiap urus niaga untuk baki tahun 2023 dan gembira dengan pencapaian prestasi pada separuh pertama tahun kewangan 2023.

"Di sebalik jangkaan Bank Dunia bahawa pertumbuhan global akan bergerak perlahan dengan ketara pada kadar 2.1 peratus pada 2023, keuntungan bagi separuh tahun pertama sangat memberangsangkan dan MGB menyasar untuk terus mengekalkan prestasi kukuh pada separuh tahun kedua 2023," katanya.

Segmen pembinaan dan perdagangan kekal sebagai keuntungan utama kumpulan yang menyumbang pendapatan sebanyak RM388 juta, peningkatan sebanyak RM84 juta berbanding RM304 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Segmen ini mencatatkan keuntungan sebelum cukai bagi tempoh kewangan semasa sebanyak RM30 juta berbanding suku tahun sebelumnya sebanyak RM14 juta.

Dengan memanfaatkan penggunaan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalaman yang dibangunkan dengan kukuh dan stabil, kumpulan berjaya mengekalkan kecekapan operasi, membantu MGB untuk laporan margin yang lebih baik.

Tambahan pula, produk konkrit pratuang Kumpulan turut menunjukkan prestasi cemerlang, dengan menjana pendapatan kira-kira RM29.2 juta bagi suku ini.

Sektor pembangunan hartanah juga menunjukkan prestasi yang baik.

Peningkatan keuntungan sebanyak RM14.02 juta daripada RM8.44 juta pada suku tahun sebelumnya kepada RM22.46 juta daripada empat projek iaitu Idaman Melur, Cybersouth dengan 1,448 unit, Idaman Cahaya Fasa 1 (568 unit), Idaman Sari (513 unit) dan Pangsapuri Saujana Indah Fasa 1 dengan 595 unit.

Keuntungan sebelum cukai segmen ini bagi suku semasa adalah sebanyak RM4 juta berbanding RM680,000 pada suku tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 7:10 AM