AMIRUDIN  (tengah),   Lim  (dua dari kiri) dan Raja Ahmad Shahrir  (kanan) pada majlis pelancaran rumah Idaman Melur di KITA@Cybersouth Sales Gallery, Sepang. - Gambar  NSTP/ASYRAF HAMZAH
AMIRUDIN (tengah), Lim (dua dari kiri) dan Raja Ahmad Shahrir (kanan) pada majlis pelancaran rumah Idaman Melur di KITA@Cybersouth Sales Gallery, Sepang. - Gambar NSTP/ASYRAF HAMZAH

MGB Berhad (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Berhad yang terbabit dalam pembinaan dan pembangunan hartanah melancarkan projek Idaman Melur iaitu salah satu daripada enam projek Rumah Idaman MBI di Galeri Jualan KITA @ Cybersouth di sini.

Projek ini terdiri dua blok pangsapuri 23 tingkat yang dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 4.8 hektar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM414 juta.

MGB melalui jalinan usaha sama dengan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dengan MGB Berhad penyedia solusi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah di lokasi strategik yang dilengkapi dengan kemudahan asas.

Projek pangsapuri ini dibina berdasarkan tiga variasi reka bentuk dan ditawarkan dengan harga bermula daripada RM250,000.

Idaman Melur merangkumi sejumlah 1,448 unit pangsapuri berkeluasan binaan minimum 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta dilengkapi penghawa dingin, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen dan pemanas air.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim serta Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San.

Selepas kejayaan pelancaran projek Idaman Bandar Saujana Putra (BSP) pada Oktober tahun lalu, ia terbukti bahawa projek ini berjaya menarik minat pembeli dengan kadar pengambilan yang kukuh bagi kesemua unit yang ditawarkan dari satu fasa ke fasa yang lain.

Enam projek Rumah Idaman MBI, yang terdiri daripada 7,210 unit rumah mampu milik kesemuanya memanfaatkan teknologi pra-tuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB.

Projek ini akan dibina oleh Konsortium PCSB-MGB, yang juga usaha sama antara MGB dan PNSB Construction Sdn Bhd, anak syarikat PNSB.

MGB menjangkakan untuk melancarkan empat lagi baki projek Rumah Idaman MBI menjelang 2023.

Pendaftaran bagi Idaman Melur boleh dilakukan melalui https://ehartanah.Iphs.
gov.my/ dan https://mgbgroup.com.my/idaman-melur/.

Pada masa sama, Lim berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pemaju hartanah yang akan membantu merealisasikan misi kerajaan dalam memastikan rumah dibina dengan harga yang mampu dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia.

"Dengan pengalaman luas kami dalam pembinaan, kami yakin akan dapat membina rumah Rumah Idaman MBI dengan kualiti yang akan menjadi penanda aras untuk rumah mampu milik di Selangor.

"MGB berbesar hati kerana sistem pratuang IBS kami digunakan ke dalam pembinaan pembangunan Rumah Idaman MBI, ini selaras dengan matlamat kami untuk menjadi penyedia solusi perumahan terkemuka melalui sistem IBS.

"Untuk jangka pendek, matlamat MGB adalah untuk memastikan pelancaran baki projek Rumah Idaman MBI berada di landasan yang betul dan seterusnya akan membawa kepada tempahan yang berterusan pada tahun-tahun mendatang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 7:01 AM