LIM
LIM

Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Berhad yang terbabit dalam pembinaan dan pembangunan hartanah optimis masa depan yang cerah bakal tiba khususnya dengan peningkatan pemberian vaksinasi.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, MGB mampu bergerak maju dan fokus kepada matlamatnya untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada negara.

"Terima kasih kepada seluruh pasukan MGB yang bekerja keras memastikan projek di Kita Harmoni, Kita Bayu dan Skylake siap dibina serta mempercepatkan kemajuan pembinaan di Residensi Bintang Bukit Jalil, Mercu Jalil dan Ritma Alam Perdana.

"Usaha ini memberi sumbangan besar kepada pendapatan MGB pada suku tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perniagaan pembuatan pratuang yang kini dilaporkan dalam segmen pembinaan dan perdagangan menunjukkan prestasi yang baik dengan pendapatan dalaman sekitar RM14.79 juta untuk suku ini berbanding RM7.74 juta pada suku kedua 2020.

"Kami yakin perniagaan pembuatan produk pratuang akan terus berkembang dan sekiranya keuntungan ini konsisten, kami berhasrat mewujudkan segmen yang berasingan untuknya.

"Tempahan MGB yang luar biasa bernilai RM1.97 bilion dilihat kukuh pada akhir suku kedua. Dengan pelancaran projek di Laman Bayu Fasa 3 dan Fasa 4 yang bakal menyusul, ia pasti akan mengekalkan syarikat dan prestasi kewangan Kumpulan sepanjang tahun ini," katanya.

Bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, Kumpulan mencatatkan lonjakan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM126.50 juta dan RM6.80 juta serta peningkatan dari tahun ke tahun masing-masing 96.19 peratus dan 332.75 peratus daripada RM64.40 juta dan RM1.57 juta pada suku kedua tahun lalu.

Selain itu, Kumpulan turut mengumumkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.04 juta pada suku kedua tahun ini, berbanding RM29,000 pada suku kedua tahun lalu yang dijana terutamanya dari segmen pembinaan dan perdagangan.

Untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021, Kumpulan mencatatkan hasil dan PAT masing-masing sebanyak RM294.09 juta dan RM14.16 juta, dengan peningkatan kepada pertumbuhan 35.85 peratus dan 509.37 peratus berbanding separuh pertama tahun lalu.

Di sebalik cabaran dari rencatan aktiviti pembinaan berikutan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan oleh kerajaan pada sepanjang tahun lalu, peningkatan keuntungan ketara dari keputusan tahun ini adalah berikutan dari penyelesaian projek-projek Kita Harmoni, Kita Bayu dan Skylake.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:01 AM