HOCK San (belakang enam dari kanan) pada majlis roof topping sebagai tanda fasa pembinaan struktur bangunan projek Rumah Idaman Melur sudah selesai.
HOCK San (belakang enam dari kanan) pada majlis roof topping sebagai tanda fasa pembinaan struktur bangunan projek Rumah Idaman Melur sudah selesai.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Syarikat pembangunan hartanah, MGB Berhad (MGB) yang juga subsidiari LBS Bina Group Berhad, menganjurkan majlis roof topping sebagai tanda fasa pembinaan struktur bangunan projek Rumah Idaman Melur yang terletak di Cybersouth, Dengkil, sudah selesai.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, struktur bangunan itu sudah disiapkan kira-kira satu bulan lebih awal daripada jadual, hasil daripada penggunaan teknologi inovatif konkrit pratuang sistem binaan berindustri (IBS).

Katanya, kecekapan dan konsistensi menjadi elemen penting di dalam proses pembinaan, dan MGB menekankan kepentingan penggunaan konkrit pratuang IBS dalam projek pembinaannya.

"Roof Topping ini melambangkan hasil kerja keras semua pihak. Ia mewakili komitmen MGB yang tidak berbelah bahagi terhadap semua yang dilakukan.

"Majlis ini turut menterjemahkan bukti dedikasi kami terhadap pembinaan rumah yang berkualiti.

"Ia turut memberi manfaat terhadap pembeli yang bakal menikmati gaya hidup di kawasan kejiranan dan komuniti yang berkembang," katanya dalam kenyataan.

MGB berkata, setakat kini, IBS sudah membantu mengurangkan tempoh pembinaan sebanyak 33 peratus dan penggunaan tenaga buruh sebanyak 31 peratus.

Kilang IBS milik MGB ini mampu menghasilkan panel konkrit pratuang IBS untuk membina sebanyak 6,000 unit hartanah setiap tahun.

Dengan penggunaan teknologi konkrit pratuang IBS, MGB akan menyediakan sejumlah 7,210 unit rumah mampu milik di bawah inisiatif Rumah Selangorku Idaman MBI.

MGB berdedikasi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang layak dan menetap di Selangor untuk memiliki rumah mampu milik, sekali gus menyokong matlamat kerajaan negeri untuk membina 30,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025, katanya.

Sementara itu, MGB juga menyasarkan penyerahan menyerahkan milikan kosong kepada pemilik Rumah Idaman BSP di Bandar Saujana Putra, yang dijadualkan pada suku ketiga tahun ini.

Kedua-dua Rumah Idaman BSP dan Rumah Idaman Melur adalah antara dua daripada enam projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang dibangunkan oleh MGB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 8:47 AM