LIM Hock San
LIM Hock San

MGB Berhad (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Berhad yang terbabit dalam solusi pembinaan dan pembangunan hartanah, mengumumkan keputusan suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (Q1FYE2021).

Bagi suku pertama di bawah semakan, MGB mencatatkan pendapatan RM178.59 juta, peningkatan sebanyak 6.57 peratus berbanding suku tahunan tahun sebelumnya.

Selain itu, keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai masing-masing mencatatkan sebanyak RM11.23 juta dan RM6.82 juta.

MGB berkata, sejajar dengan matlamat ke arah pemulihan ekonomi, segmen pembinaan dan perdagangan adalah penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB.

"Jumlah pendapatan yang direkodkan meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM174.01 juta berbanding Q1FYE2021 dengan RM155.62 juta.

"Peningkatan positif pada rekod pendapatan adalah sebahagian dari sumbangan projek seperti Residensi Bintang Bukit Jalil dan Mercu Jalil di Bukit Jalil serta Ritma Perdana dan Melodi Perdana di LBS Alam Perdana," kata MGB.

Sementara itu, Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, konflik Rusia dan Ukraine memberikan permulaan yang tidak begitu baik kepada keputusan suku pertama.

"Meskipun berlaku kenaikan harga bahan-bahan mentah dan kekurangan tenaga buruh, MGB terus kekal memberikan keuntungan yang stabil.

"Kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam tempoh yang tidak menentu ini. Perancangan perniagaan yang disiplin serta kawalan kos merupakan aspek utama yang diberi tumpuan di dalam menjalankan perniagaan kami," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya menerima tempahan RM1.74 bilion dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.15 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah.

"Kami menjangkakan MGB akan menjana pendapatan RM4 bilion pada tahun akan datang. MGB turut menjangka penambahan pada bilangan projek pembinaan dan mengambil peluang ini untuk menawarkan tender pembinaan kepada projek kerajaan sekiranya ada kekosongan," katanya.

Beliau berkata, berikutan daripada pelancaran Rumah Idaman BSP, MGB menerima tempahan luar biasa bagi 1,312 unit dan kini di dalam proses pertukaran kepada jualan bagi pembeli yang layak dan menerima kelulusan daripada pihak berkuasa.

"Kami turut menantikan baki lima pelancaran projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang akan dilancarkan tahun ini dan tahun 2023.

"Ini didorong dengan rekod jualan memberangsangkan bagi pelancaran terbaharu Laman Bayu Fasa 3 dan 4 dengan sejumlah 47 unit (daripada 118 unit) bagi rumah teres dua tingkat di mana nilai anggaran unit terjual yang direkodkan adalah berjumlah RM18.25 juta.

"Secara keseluruhannya, kami optimis MGB berada di dalam kedudukan yang stabil dan mampu memberikan pulangan positif pada 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:15 AM