Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San.

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM44.7 juta pada suku ketiga bagi tahun kewangan 2023, mempamerkan prestasi kewangan yang kukuh dan membuktikan komitmen syarikat terhadap inisiatif Pemuliharaan Alam Sekitar, Tanggungjawab Sosial dan Amalan Tadbir Urus (ESG).

Pada tempoh berkenaan, LBS mencatatkan peningkatan tahun ke tahun yang membanggakan sebanyak 14.2 peratus untuk PAT, dan lonjakan keuntungan sebanyak 13.8 peratus bagi keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) yang mencecah RM40.2 juta.

Peningkatan ini disokong oleh pendapatan kukuh sebanyak RM471.5 juta, di mana sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan aktiviti pembinaan di beberapa projek pembangunan utama seperti di KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Projek Idaman dan Prestige Residence.

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan Kumpulan dengan mencatat keuntungan sebanyak RM453.1 juta pada tempoh sama.

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2023, PAT dan PATMI masing-masing melonjak 11 peratus dan 3.1 peratus.

Lebih daripada 89 peratus hasil pendapatan diraih daripada projek pembangunan di Lembah Klang, memberi indikator dan kepentingan kawasan berkenaan di dalam menjana prestasi kewangan Kumpulan untuk tempoh kewangan semasa.

LBS melaporkan jualan hartanah sebanyak RM1.58 bilion pada 20 November 2023, dengan tempahan dalam perancangan sebanyak RM234 juta, menunjukkan peningkatan ketara ke arah sasaran jualan sebanyak RM2 bilion bagi tahun 2023.

Selain itu, sehingga 31 Oktober 2023, LBS mempunyai simpanan bank tanah seluas 2,791 ekar dan jualan tanpa bil sebanyak RM2.2 bilion.

Mengulas mengenai hala tuju syarikat dan komitmen terhadap kemampanan, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, LBS telah mempamerkan keputusan kewangan yang membanggakan pada suku ini.

"Kami terus konsisten mengadaptasikan pendekatan yang penuh strategik dan disiplin terhadap projek-projek pembangunan kami.

"Strategi ini ternyata telah membuahkan hasil berikutan peningkatan 9.5 peratus margin keuntungan berbanding 7.4 peratus pada suku sama pada tahun sebelumnya.

"Menuju ke suku akhir 2023, LBS tekad untuk mengekalkan momentum ini. Dengan pelancaran sebanyak RM1.7 bilion setakat ini, kami mencatatkan kadar pengambilan yang kukuh melebihi 80 peratus di keseluruhan projek kami yang sedang berjalan, menunjukkan penerimaan orang ramai terhadap projek hartanah kami.

"Selain itu, LBS dengan sukacitanya ingin mengumumkan kejayaan kami menyiapkan sejumlah 10 projek bernilai RM2.4 bilion, mengikut garis masa yang telah ditetapkan. Ini meletakkan LBS di kedudukan yang positif bagi penutup tahun 2023," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, inisiatif ESG kekal sebagai fokus dan keutamaan LBS.

"Pemasangan panel solar di ibu pejabat kami, galeri jualan KITA @ Cybersouth dan Kilang Konkrit Pratuang (IBS) di Nilai, di samping pemerolehan kapasiti tenaga solar 28.67MW melalui Program Kuasa Hijau Korporat merupakan bukti komitmen kami terhadap kemampanan.

"Kami akan terus mengintai peluang di dalam segmen tenaga boleh diperbaharui sekali gus membantu meningkatkan profil ESG kami demi mencapai matlamat Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 10:08 AM