Kuala Lumpur: Sejumlah RM835.4 juta sudah diluluskan bagi bayaran Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membabitkan 40,196 permohonan setakat 26 Mei 2023.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM790.8 juta sudah disalurkan melalui MBSB Bank Bhd manakala RM44.6 juta menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).

"Kebanyakan permohonan yang tidak layak pula disebabkan oleh pemohon tidak mencapai syarat-syarat seperti permohonan tidak lengkap, di luar umur kelayakan dan baki Akaun 2 yang tidak mencukupi," katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

MOF menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai jumlah permohonan pencarum KWSP terbabit serta nilai yang diluluskan bagi inisiatif itu.

Berdasarkan jumlah permohonan, MBSB mencatatkan jumlah permohonan sebanyak 122,810 dengan 59,698 daripadanya layak memohon. Namun hanya 38,146 bersetuju menerima tawaran pembiayaan.

Bagi BSN, sebanyak 33,249 diterima dengan 19,652 layak memohon. Bagaimanapun, hanya 2,050 pemohon bersetuju menerima tawaran pembiayaan.

Inisiatif FSA2 bertujuan membantu ahli KWSP yang memerlukan bantuan kewangan mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan dengan jumlah maksimum RM50,000.

Ia juga bertujuan mengimbangi kepentingan pendapatan persaraan di masa depan dengan impak minimum ke atas simpanan persaraan ahli yang banyak terjejas susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19.

Ia diberikan kepada pemohon bersesuaian dengan kemampuan kredit dan aliran tunai mereka berdasarkan penilaian kredit yang dibuat oleh pihak bank ke atas pemohon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 6:00 AM