PEMOHON berstatus muflis dan mempunyai DSR yang tinggi menjadi antara faktor permohonan pembiayaan peribadi Ihsan-i ditolak.
PEMOHON berstatus muflis dan mempunyai DSR yang tinggi menjadi antara faktor permohonan pembiayaan peribadi Ihsan-i ditolak.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Hutang terlalu tinggi dan berstatus muflis menjadi faktor utama kegagalan mendapatkan pembiayaan di bawah program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilancarkan April lalu.

Program berkenaan membabitkan dua institusi kewangan iaitu MBSB Bank yang menawarkan Ihsan-i dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN MyRinggit Insan-i.

MBSB Bank dalam satu kenyataan berkata, pemohon berstatus muflis dan mempunyai Nisbah Khidmat Hutang (DSR) yang tinggi menjadi antara faktor permohonan pembiayaan peribadi Ihsan-i ditolak.

Katanya, pihaknya juga maklum terdapat pemohon yang berstatus muflis menerima kelulusan pembiayaan.

"Permohonan yang diterima sangat tinggi dalam tempoh masa singkat yang membawa kepada berlakunya keralatan sistem.

"Pemohon berkenaan pula membuat pengisytiharan yang mereka bukan muflis ketika membuat permohonan," katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan syarat yang ditetapkan KWSP, pemohon yang diisytihar muflis perlu merujuk kepada institusi perbankan yang terbabit untuk sebarang kelulusan permohonan.

Menurut MBSB Bank, sebanyak 108,284 permohonan untuk Ihsan-i diterima setakat ini.

"Daripada jumlah ini, permohonan yang layak adalah sebanyak 49,130 dan seterusnya 27,202 permohonan diluluskan dengan nilai keseluruhan pembiayaan berjumlah RM561 juta.

"Keseluruhan proses Ihsan-i daripada peringkat permohonan ke peringkat pengeluaran pembiayaan dilakukan sepenuhnya secara dalam talian tanpa perlu pemohon hadir ke cawangan MBSB Bank.

"Pemprosesan permohonan ini masih giat dijalankan oleh MBSB Bank dalam usaha untuk memastikan pemohon dapat menerima maklum balas daripada pihak Bank dengan kadar segera," katanya.

Menurutnya, bagi permohonan Ihsan-i yang tidak berjaya, ia adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti pemohon berstatus muflis dan DSR yang tinggi.

"Kami tidak akan mengenakan sebarang caj terhadap jumlah pembiayaan Ihsan-i yang dimasukkan ke dalam akaun simpanan mereka.

"Status Akaun 2 KWSP mereka juga tidak akan terjejas. Ihsan-i MBSB Bank mengguna pakai konsep Tawarruq di mana antara kelebihannya adalah ansuran bulanan yang rendah pada tahun pertama kerana pelanggan hanya perlu membayar bayaran keuntungan, tiada caj proses atau caj penamatan awal," katanya.

Katanya, Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra' dari jumlah keuntungan sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal.

"Kadar keuntungan Ihsan-i adalah sangat kompetitif berbanding kadar pembiayaan peribadi sedia ada. Ansuran bulanan Ihsan-i boleh bertambah atau berkurang tertakluk kepada perubahan Kadar Dasar Semalaman (OPR) namun jumlah keseluruhan ansuran bulanan yang dibayar tidak boleh melebihi harga jualan," katanya.

Berdasarkan laporan pada April lalu, KWSP menerima 74,392 permohonan dalam tempoh seminggu selepas pihaknya mengumumkan program FSA2.

Daripada jumlah itu, sebanyak 34,643 permohonan layak diterima membabitkan jumlah RM722 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 9:48 AM