MOHD Nasir (tiga dari kanan) dan Adenan (tiga dari kiri) melancarkan Skrin LED AmanahRaya, semalam. FOTO Sairien Nafis
MOHD Nasir (tiga dari kanan) dan Adenan (tiga dari kiri) melancarkan Skrin LED AmanahRaya, semalam. FOTO Sairien Nafis
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) berada di landasan tepat untuk meningkatkan jumlah pelanggan bukan Bumiputera kepada 50 peratus dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, pada masa ini AmanahRaya mempunyai 30 peratus pelanggan bukan Bumiputera.

Menurutnya, usaha berterusan sentiasa dilaksanakan untuk membina, mengukuh dan mengekalkan jenama AmanahRaya sebagai agensi kerajaan yang wujud hampir 100 tahun.

“Kami mahu AmanahRaya dikenali sebagai pengurus pewarisan yang menjangkaui semua kaum dan agama di negara ini.

“AmanahRaya mempunyai kepakaran sebagai pengurus pewarisan secara holistik, tidak hanya secara syariah, malah konvensional,” katanya selepas melancarkan Skrin LED di Wisma AmanahRaya di sini.

Hadir sama, Pengarah Urusan AmanahRaya, Adenan Md Yusof.

Mohd Nasir berkata, pengiklanan digital itu dijangka mampu menjangkau sasaran luas dan mendidik masyarakat Malaysia mengenai kepentingan melaksanakan perancangan pewarisan melalui penulisan wasiat, pengurusan amanah dan pentadbiran pusaka.

Beliau berkata, AmanahRaya bakal membuka cawangan baharu di Teluk Intan dan Putrajaya, tahun ini.

“Kami akan meluaskan rangkaian AmanahRaya bagi memperkuatkan lagi pasukan untuk memberi lebih maklumat kepada orang ramai terutama mereka di kawasan luar bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 9:38 AM