KETUA Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.
KETUA Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.

Kuala Lumpur: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dinamakan sebagai Bank Runcit Islam Terbaik di anugerah Bank Islam Terbaik 2023 The Banker.

Anugerah berkenaan mengiktiraf francais perbankan runcit Islam CIMB Group atas kecemerlangannya dalam membawa produk dan perkhidmatan ke pasaran, sambil mengutamakan keselesaan dan pengalaman pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pihaknya berbesar hati diiktiraf sebagai Bank Runcit Islam Terbaik oleh The Banker.

"Ia adalah bukti komitmen pasukan dalam mencipta penyelesaian patuh Syariah yang inovatif, seiring dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kerana memilih kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan penyedia pilihan.

"Kami akan terus berkhidmat kepada pelanggan kami dan memberikan nilai tambah dan menawarkan produk dan perkhidmatan berdaya saing, sejajar dengan pelan strategik Forward23+ Kumpulan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, produk dan perkhidmatan yang menyumbang kepada pengiktirafan ini adalah takaful CIMB Islamic yang menawarkan perancangan warisan dan rangkaian luas produk takaful keluarga yang dilengkapi hibah.

"Di samping itu, ia turut menawarkan penyelesaian pengurusan kekayaan patuh Syariah yang membolehkan pelanggan mengakses pelbagai jenis pasaran dan struktur pembayaran, serta pendedahan kepada kelas aset yang tidak mudah diakses oleh pelabur runcit," katanya.

Pada 2008, CIMB Islamic memperkenalkan Akaun Simpanan EcoSave-i (EcoSave-i), yang kekal menjadi satu-satunya akaun berkaitan kemampanan dalam pasaran.

Ia adalah akaun simpanan tertumpu alam sekitar pertama Bank, di mana ia menyumbang 0.2 peratus daripada jumlah purata portfolio setahun baki EcoSave-i kepada projek alam sekitar.

Sejak dilancarkan, CIMB Islamic telah menyumbang kira-kira RM5.5 juta kepada 17 inisiatif hijau di seluruh negara, setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:10 AM