Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) bercadang untuk membolehkan Maybank menetapkan 20 peratus sahamnya menjadi patuh syariah (Islam) atau i-saham menerusi mekanisme berdasarkan perlindungan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihaknya buat masa ini dalam proses menjalankan mekanisme ini dan ia masih di peringkat dalaman.

Katanya, perbincangan juga sedang dibuat dengan beberapa majlis syariah dan setakat ini maklum balas yang diterima adalah positif.

“Mereka membangkitkan beberapa isu dan kami memerlukan lebih banyak komitmen dan beri kami sedikit masa kerana strategi patuh syariah memerlukan satu proses yang agak ketat.

“Tetapi, hasilnya akan dapat memberi manfaat kepada semua pemegang saham dan syarikat,” katanya pada majlis makan tengah hari bersama Institut Akhbar Malaysia, di sini, semalam.

Abdul Wahid berkata, kira-kira 25 peratus daripada keuntungan Maybank sekarang disumbangkan daripada kewangan Islam dan berdasarkan kepada permodalan pasaran bank yang berjumlah RM97 bilion.

Menurutnya, proses terbabit akan mewujudkan kelas baru dalam instrumen pelaburan patuh syariah bernilai RM19 bilion.

PNB memiliki pegangan sebanyak 48 peratus dalam Maybank, kumpulan bank terbesar Malaysia yang menjadi bank ke-4 terbesar di ASEAN berdasarkan jumlah aset dan bank Islam ke-5 terbesar di dunia.

“Jika Maybank berjaya, CIMB, RHB dan Bursa Malaysia boleh meniru mekanisme terbabit, malah 60 peratus daripada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia sudah patuh syariah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 4:58 AM