KUMPULAN AmBank dan EMRAZ Travel & Tours Sdn Bhd (EMRAZ), sebuah agensi umrah, haji dan pelancongan di Malaysia memeterai kerjasama strategik bagi melancarkan pakej pembiayaan patuh syariah bagi tujuan ziarah umrah.

Pakej pembiayaan umrah ini direka khas untuk pelanggan merentasi semua sektor, termasuk kakitangan kerajaan, pelanggan bekerja sendiri dan pekerja bergaji.

Untuk membiayai pakej pelancongan yang dibeli melalui EMRAZ, pelanggan Kad Kredit-i AmBank yang baharu menikmati yuran pengurusan menarik iaitu pada kadar sifar peratus untuk pelan Ansuran QuickCash bagi permohonan pertama sehingga RM15,000.

Selepas itu, pelanggan boleh memohon tawaran Pembiayaan Peribadi AmBank Islamic sehingga RM250,000 dengan tempoh fleksibel sehingga 10 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, selaras potensi besar dalam pasaran, pihaknya komited terus berinovasi dengan menawarkan produk serta perkhidmatan kewangan patuh Syariah yang relevan dan terkini bagi memenuhi keperluan pelanggan.

"Melalui usaha sama dengan ejen umrah berlesen terkemuka serta dihormati seperti EMRAZ, kami berharap penyelesaian pembiayaan ini membantu pelanggan Muslim yang mencari fleksibiliti dan pengalaman umrah disesuaikan dengan keperluan mereka," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee berkata, produk itu menawarkan pilihan harga dan pembiayaan menarik untuk pelanggan Muslim bagi memudahkan mereka menunaikan ibadah umrah di Makkah dan Madinah.

"Inisiatif ini mengukuhkan lagi komitmen kami sebagai penyedia produk kewangan yang mematuhi prinsip syariah. Kami ingin membantu umat Islam merealisasikan impian mereka untuk mengunjungi Baitullah dan menunaikan umrah dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 7:01 AM