JENAMA perkakas antarabangsa yang terkenal, EMTOP kini boleh didapati di Malaysia didatangkan khas oleh peruncit perkakas rumah kegemaran Malaysia, Kumpulan MR DIY (M) Berhad (MR DIY).

Kumpulan itu membuka kedai EMTOP pertamanya di Bandar Puteri, Puchong, Selangor pada pada 24 April lalu.

EMTOP jenama yang dipercayai di lebih 80 negara di seluruh dunia menghasilkan pelbagai produk perkakas yang terkenal dengan kualiti dan ketahanan pembinaannya.

Rangkaian produk EMTOP yang lebih 1,000 ini merangkumi alat-alat kuasa, aksesori alat kuasa dan alat-alat sumber kuasa.

Menariknya, produk EMTOP menggunakan bateri standard untuk lebih daripada 100 perkakas, menjadikannya ia mudah digunakan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR DIY Adrian Ong berkata, sekatan perjalanan semasa pandemik, kenaikan kos bahan mentah dan kos perkhidmatan yang lebih tinggi mengilhamkan budaya buat sendiri (DIY) dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ini seterusnya meningkatkan permintaan untuk perkakas, alat dan gajet. Oleh itu, kami memutuskan untuk menjadi francaisi induk untuk jenama EMTOP di Malaysia.

"EMTOP adalah jenama antarabangsa yang diiktiraf di peringkat global dan menjadi kegemaran peminat DIY dan kalangan profesional dalam industri pembinaan," katanya.

Beliau berkata, kedai EMTOP menawarkan pelbagai perkakas asas dalam satu lokasi yang mudah dan pada harga berpatutan,

Selain itu katanya, EMTOP juga akan dibuka di Jalan Nanas Kawasan 18, Klang, Selangor.

EMTOP menyertai rangkaian jenama Kumpulan MR DIY termasuk MR DIY yang dilancarkan pada 2005, diikuti oleh MR TOY (2019), MR DOLLAR (2020), MR DIY Express (2021) dan MR DIY PLUS pada 2022.

Dengan pembukaan EMTOP, kumpulan itu kini mempunyai lebih daripada 1,100 kedai di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ong berkata, pihaknya mengatur pelbagai aktiviti menarik sempena pembukaan kedai EMTOP pertama.

Ia termasuk diskaun sehingga 30 peratus untuk alat kuasa; penggiling sudut, pemandu impak, gerudi tanpa wayar, gerudi impak, dan pemutar skru tanpa wayar, di samping promosi hadiah apabila pelanggan membeli produk EMTOP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 7:15 AM