KUMPULAN  akan memperkenalkan versi baharu kepada jenama Mr Dollar di bawah nama MR DOLLAR One Plus.
KUMPULAN akan memperkenalkan versi baharu kepada jenama Mr Dollar di bawah nama MR DOLLAR One Plus.

Kuala Lumpur: Kumpulan MR DIY akan memperkenalkan jenama baharu Emtop yang membariskan barangan perkakasan rumah pada harga berpatutan dan di lokasi yang mudah dikunjungi.

Ketika ini konsep baharu itu sedang diuji dan Kumpulan meletakkan sasaran untuk membuka tiga cawangan pada tahun ini.

Selain Emtop, kumpulan juga akan memperkenalkan versi baharu kepada jenama Mr Dollar di bawah nama MR DOLLAR One Plus agar ia dapat memberikan penawaran produk lebih anjal.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Soong Wei Siang berkata, keputusan suku pertama 2023 (1Q23) Kumpulan MR DIY mencapai jangkaan kerana perolehan dijangka meningkat lebih tinggi.

"Untung bersih sebanyak RM128 juta merangkumi 22 peratus daripada ramalan kami dan konsensus. Selepas keputusan diumumkan, kami tidak membuat sebarang pindaan pada ramalan perolehan," katanya dalam nota penyelidikan, semalam.

Menurutnya, secara tahun ke tahun (YoY), hasil 1Q23 melonjak naik 16 peratus kepada RM1 bilion dan sebahagian besarnya didorong oleh bilangan kedai yang lebih tinggi iaitu penambahan 178 kepada 1,125 kedai.

"Meningkatnya belanja mengurus (opex) seiring dengan pengembangan kedai dan pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi, untung sebelum cukai (PBT) 1Q23 melambung naik 28 peratus kepada RM173 juta.

"Hasil 1Q23 pula 2.0 peratus lebih rendah suku ke suku (QoQ) apabila 4Q22 mencatat asas tinggi hasil dorongan daripada faktor kelaziman lebih kukuh menyebabkan PBT 1Q23 jatuh 6.0 peratus QoQ," katanya.

Sementara itu, menurutnya kumpulan berada dalam landasan yang baik dalam usahanya untuk membuka 180 kedai pada tahun kewangan dengan penubuhan 45 kedai baharu bersih pada 1Q23.

"Seterusnya, kumpulan ini juga memperkenalkan versi baharu kepada jenama Mr Dollar di bawah nama MR DOLLAR One Plus agar ia dapat memberikan lebih banyak penawaran produk.

"Selain itu, ia menyasar untuk melancarkan jenama baharu – Emtop dengan sasaran pembukaan tiga cawangan tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 7:00 AM