Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong. FOTO AIZAH AZMEE
Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong. FOTO AIZAH AZMEE
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Peruncit perkakas rumah terkemuka di Malaysia, MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY), menampilkan konsep rangkaian baharunya dengan membuka cawangan pertama MR DIY Plus berkeluasan 30,000 kaki persegi bagi memberi pengalaman membeli-belah terbaik kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, sejak dibuka pada 19 Mei lalu, MR DIY Plus menerima lebih 200,000 kunjungan pelanggan dan menjadi lembaran baru untuk kumpulan menyediakan lebih banyak produk berkualiti pada harga mampu milik.

Katanya, terdapat lebih 20,000 produk pilihan di MR DIY Plus yang bukan sahaja terdiri daripada barangan MR DIY, tetapi juga MR DOLLAR dan MR TOY.

"Kami akan menambah produk dari masa ke masa dan merancang untuk membuka 10 lagi cawangan MR DIY Plus di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun lagi.

"Sejak sebulan dibuka kami lihat konsep MR DIY Plus ini mendapat maklum balas positif daripada pelanggan dan menjadi pilihan kerana ruang yang lebih luas serta banyak produk daripada pelbagai segmen keperluan isi rumah.

"Kami tahu pelanggan sekarang ini mahukan nilai hebat, kemudahan kedai sehenti dan faedah tambahan daripada pengalaman membeli-belah yang menarik.

"Disebabkan itu, kami membuka MR DIY Plus untuk mengumpulkan semuanya dalam satu ruang yang menarik, santai dan dibangunkan berdasarkan pandangan serta maklum balas pelanggan kami," katanya kepada media pada sesi lawatannya ke MR DIY Plus di sini, semalam.

MR DIY Plus pertama itu dibuka di MidValley MegaMall mempamerkan kira-kira 20,000 jenis produk bagi lima kategori utama iaitu perkakasan, keperluan dan kelengkapan rumah, elektrik, alat tulis, peralatan sukan dan lain-lain (terdiri daripada mainan, aksesori kereta, barang kemas, kosmetik, barangan makanan dan minuman, serta barangan kesihatan dan penjagaan diri).

MR DIY Plus menyertai barisan jenama kumpulan itu pada Mei 2022, termasuk MR DIY jenama yang dilancarkan pada 2005, diikuti oleh MR TOY pada 2019, MR DOLLAR pada 2020 dan MR DIY Ekspres pada 2021.

Pembukaan MR DIY Plus membawa jumlah bilangan kedai dalam kumpulan terbabit kepada lebih 950 cawangan.

Sementara itu, ditanya mengenai unjuran sektor peruncitan, Adrian berkata, pihaknya optimis pertumbuhan dalam sektor itu akan berkembang sekitar 10 peratus tahun ini.

Beliau berkata, walaupun negara berdepan dengan kos sara hidup tinggi serta inflasi, pihaknya melihat segmen peruncitan masih mendapat permintaan.

"Disebabkan itu, fokus kumpulan sekarang adalah untuk memastikan keperluan pelanggan dipenuhi, dari segi harga MR DIY sentiasa memastikan produk kami berpatutan dan bersedia berdepan cabaran ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 8:23 AM