Kuala Lumpur: MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan harga di semua rangkaiannya, sebaliknya akan terus memberi fokus menawarkan produk mampu milik kepada masyarakat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, pihaknya mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan harga produk di MR DIY sentiasa rendah di pasaran.
Katanya, walaupun negara berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi serta inflasi, pihaknya melihat segmen peruncitan masih mendapat permintaan.
"Disebabkan itu, fokus kumpulan sekarang adalah untuk memastikan keperluan pelanggan dipenuhi, dari segi harga MR DIY sentiasa memastikan produk kami berpatutan dan bersedia berdepan dengan cabaran ekonomi.
"Selain itu, kumpulan merancang untuk membuka 180 cawangan di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini membabitkan rangkaian MR DIY, MR DOLLAR dan MR TOY," katanya kepada media di majlis pembukaan rasmi cawangan pertama MR DIY Plus di sini, hari ini.
Peruncit perkakas rumah terkemuka di Malaysia itu julung kali menampilkan konsep rangkaian baharunya MR DIY Plus yang berkeluasan 30,000 kaki persegi bagi memberi pengalaman beli-belah terbaik kepada orang ramai.
Ong berkata, sejak dibuka pada 19 Mei lalu, MR DIY Plus menerima lebih 200,000 kunjungan pelanggan dan menjadi platform untuk kumpulan menyediakan lebih banyak produk berkualiti pada harga mampu milik.
Katanya, terdapat lebih 20,000 produk pilihan di MR DIY Plus yang bukan sahaja terdiri daripada barangan MR DIY, tetapi juga MR DOLLAR dan MR TOY.
"Kami akan menambah produk dari masa ke masa dan merancang untuk membuka 10 lagi cawangan MR DIY Plus di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, dalam tempoh dua ke tiga tahun lagi.
"Kami tahu pelanggan sekarang ini mahukan nilai hebat, kemudahan kedai sehenti dan faedah tambahan daripada pengalaman membeli-belah yang menarik," katanya.
MR DIY Plus menyertai barisan jenama kumpulan itu pada Mei 2022, termasuk MR DIY jenama yang dilancarkan pada 2005, diikuti oleh MR TOY pada 2019, MR DOLLAR pada 2020 dan MR DIY Ekspres pada 2021.
MR DIY Plus mempamerkan kira-kira 20,000 jenis produk bagi lima kategori utama iaitu perkakasan, isi rumah dan kelengkapan, elektrik, alat tulis, peralatan sukan dan lain-lain (terdiri daripada mainan, aksesori kereta, barang kemas, kosmetik, barangan makanan dan minuman, serta barangan kesihatan dan penjagaan diri).
Sempena pembukaan rasmi MR DIY PLUS, peruncit itu menyediakan beberapa aktiviti dan promosi hebat bermula 1 Julai (hari ini) hingga 3 Julai (Ahad) bagi semua pelanggan yang berkunjung di MR DIY PLUS MidValley Megamall, Bangsar.
Untuk maklumat lanjut boleh layari www.mrdiy.com atau platform e-dagang, www.mrdiy.com.my dan saluran media sosial, Facebook serta Instagram.