EFFENDY (kanan) bersama penyanyi, Datuk Zainal Abidin pada pelancaran penyelesaian kewangan EV CIMB.
EFFENDY (kanan) bersama penyanyi, Datuk Zainal Abidin pada pelancaran penyelesaian kewangan EV CIMB.

Kuala Lumpur: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) memperkenalkan rangkaian penyelesaian kewangan kenderaan elektrik (EV) paling komprehensif di pasaran untuk memacu penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia.

Mulai kini sehingga 30 April 2024, pelanggan CIMB akan menikmati manfaat pembiayaan, insurans dan pelbagai lagi termasuk kadar tetap pembiayaan EV serendah 1.98 peratus setahun dan sehingga 90 peratus margin pembiayaan dengan tempoh pembayaran sehingga sembilan tahun.

Bank juga menyediakan 'laluan hijau' untuk kelulusan pembiayaan pantas dalam masa lapan jam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna dan Digital Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid berkata, penyelesaian kewangan ini membolehkan pengguna untuk membeli dan memiliki EV dengan yakin kerana mereka mempunyai akses kepada pelbagai manfaat tambahan yang unik sebagai pelanggan CIMB.

"Kami berbesar hati untuk menawarkan rangkaian penyelesaian kewangan yang paling lengkap di pasaran hari ini.

"Penyelesaian peneraju pasaran ini dapat memberikan nilai tambah yang lebih besar dengan menjadikan pemilikan EV lebih mudah, bermanfaat dan penuh ganjaran untuk pelanggan.

"Kami akan terus menawarkan penyelesaian kewangan lestari yang inovatif untuk menggalakkan rakyat Malaysia mempertimbangkan gaya hidup lebih mampan, serta bekerjasama dalam usaha mencapai aspirasi Sifar Bersih negara," katanya.

Selain pembiayaan, CIMB dan rakan kerjasama bankansurans, Berjaya Sompo Insurance Berhad (Berjaya Sompo), telah berganding bahu untuk menawarkan nilai tambah lebih besar, serta pelbagai manfaat EV percuma yang tersedia buat kali pertama di pasaran.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, pelanggan CIMB juga akan menikmati diskaun 5.0 peratus kadar premium untuk EV, serta rebat tunai 10 peratus pada premium.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 7:31 AM