TENGKU Zafrul Aziz
TENGKU Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd berada di landasan untuk menyalurkan RM15 bilion antara 2019 dan 2020 bagi membantu membiayai 100,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, pihaknya telah menyalurkan RM3.9 bilion kepada PKS tempatan antara Januari dan Jun tahun ini.

“Kami telah mengemas kini cadangan peniagaan PKS yang berpaksikan tiga teras iaitu Transaksi PKS, Pembiayaan PKS dan Rakan Kongsi PKS untuk menawarkan penyelesaian lengkap yang melangkaui perbankan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, pihaknya bertanggungjawab untuk mengembangkan sektor PKS dan menyokong sasaran Dasar Keusahawanan Negara untuk merangsang sumbangan keluaran dalam negara kasar sektor itu kepada 50 peratus pada 2030.

“Selain daripada pembiayaan, sokongan kami juga merangkumi perkongsian ilmu dan kerjasama strategik, supaya PKS, syarikat pemula niaga dan usahawan dapat membangunkan dan berkembang maju secara sistematik,” katanya.

Bank itu juga menjalin kerjasama dengan Axiata Digital Capital untuk menyediakan 700,000 PKS di Malaysia dan Indonesia dengan akses kepada penyelesaian pembiayaan.

“Dalam menyokong aspirasi Malaysia di peringkat kebangsaan untuk melahirkan usahawan, CIMB komited untuk mengadakan sekurang-kurangnya 1,000 ceramah pada 2019, dengan 550 sesi telah diadakan setakat ini pada tahun ini.

“Kira-kira 60 daripada ceramah ini diadakan pada September saja, bersempena dengan Bulan PKS yang dianjurkan Bank Negara Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 12:00 PM