TIKET penerbangan Malaysia Airlines yang dipaparkan di Airasia SuperApp diambil daripada inventori  dibekalkan oleh pengagregat atau ‘aggregator’ rakan kongsi sedia adanya.
TIKET penerbangan Malaysia Airlines yang dipaparkan di Airasia SuperApp diambil daripada inventori dibekalkan oleh pengagregat atau ‘aggregator’ rakan kongsi sedia adanya.
Oleh Alzahrin Alias


AIRASIA SuperApp, cabang perniagaan di bawah Capital A Bhd menegaskan tiket penerbangan Malaysia Airlines yang dipaparkan di Airasia SuperApp diambil daripada inventori yang dibekalkan oleh pengagregat atau 'aggregator' rakan kongsi sedia adanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Airasia SuperApp, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil berkata, maklumat tambang penerbangan dan kelas tambang (ekonomi atau perniagaan) dibekalkan terus oleh pengagregat rakan kongsinya tanpa sebarang campur tangan daripada airasia SuperApp.

Malah, beliau berkata maklumat tambang yang sama turut dipaparkan dalam platform ejen pelancongan dalam talian (OTA) yang lain.

"Kami ingin menjelaskan bahawa tindakan undang-undang yang diambil oleh Malaysia Airlines terhadap kami adalah berdasarkan dakwaan potensi pelanggaran serta pencerobohan tanda dagangan, dan tidak berkaitan dengan pembekalan inventori.

"Kami terus menyeru Malaysia Airlines serta syarikat penerbangan lain untuk bekerjasama secara langsung dengan Airasia SuperApp bagi mencapai kecekapan dan prestasi yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Malaysian Aviation Group (MAG) kelmarin mengesahkan bahawa injunksi telah difailkan untuk menghentikan AirAsia daripada menjual tiket Malaysia Airlines.

MAG menyatakan injunksi itu sudah difailkan berikutan ia tidak dapat mencapai persetujuan komersial sebelum ini, dan AirAsia terus menjual inventori kumpulan itu dan injunksi telah difailkan pada 2022 dan perbicaraan dijadualkan pada Ogos tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum itu mendedahkan bahawa Malaysia Airlines telah memohon injunksi untuk menghentikan airasia Super App daripada menawarkan tiket penerbangan syarikat penerbangan itu untuk dijual dan telah dimaklumkan mengenai percanggahan harga.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafidz berkata, platform OTA Airasia SuperApp memegang Lesen Ejen Pelancongan dan juga ejen bertauliah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang diberi kuasa untuk menjual penerbangan daripada mana-mana syarikat penerbangan di aplikasi dan laman webnya.

Beliau berkata, sebagai OTA bertauliah, inventori penerbangan airasia SuperApp datang daripada pengagregat rakan kongsi yang mantap serta rakan kongsi syarikat penerbangan langsung, seperti mana yang dipraktikkan dalam industri OTA yang seadanya.

"Penerbangan syarikat penerbangan lain menyumbang peratusan kecil hasil platform kami dan sehingga kini, kami telah menjual 1.72 juta tempat duduk daripada lebih 700 syarikat penerbangan yang tersedia di saluran kami.

"Seperti mana-mana OTA bertauliah di pasaran, kami akan terus menjual penerbangan daripada mana-mana syarikat penerbangan, termasuk yang kami tidak mempunyai hubungan langsung melalui pengagregat dan penyatuan rakan kongsi kami yang ditubuhkan," katanya.

Sejak Airasia SuperApp diwujudkan pada Oktober 2020 sebagai agensi pelancongan dalam talian untuk memacu pelancongan di Malaysia dan mempromosikan pilihan perjalanan baharu, ia telah membangunkan banyak rangkaian produk, termasuk platform OTA yang menawarkan penerbangan dari syarikat penerbangan lain, hotel & penginapan, perkhidmatan e-hailing, pembelian perjalanan digital dan bebas cukai serta pembabitan komuniti.

Aplikasi super itu juga ketika ini mempunyai jenama syarikat penerbangan yang terkenal di dunia seperti Etihad Airways, Turkish Airlines, All Nippon Airways, Air New Zealand, Citilink, KLM, Air France dan Bangkok Airways sebagai rakan kongsi syarikat penerbangan langsung yang menawarkan penerbangan mereka di platform OTA Airasia SuperApp .

Pangkalan data AirAsia SuperApp kini mempunyai lebih 72 juta, salah satu platform terbesar, yang membolehkan rakan kongsi syarikat penerbangan lain menjangkau khalayak yang lebih luas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 7:00 AM