Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. - FOTO NSTP/Fathil Asri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. - FOTO NSTP/Fathil Asri.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia dan terbuka bagi kerjasama daripada lebih banyak pihak industri yang mahu meneruskan inisiatif Payung Rahmah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sejak dilaksanakan, inisiatif tersebut mendapat perhatian dan sambutan daripada ramai pihak industri yang secara sukarela menawarkan pakej bersesuaian untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.

"Sebenarnya tidak perlu untuk kerajaan mewajibkan (syarikat menyertai inisiatif Payung Rahmah). Inisiatif Payung Rahmah bermula dengan menu Rahmah dan ia mendapat sambutan sehingga hari ini.

"Ada juga pihak bimbang bahawa menu Rahmah hanya bersifat sementara tapi saya yakin dengan program ini, sebenarnya ia terus mendapat dukungan (pihak industri) dan hari ini terbukti AirAsia telah menjadi sebahagian daripada rakan strategik kita dan menjadi keluarga dalam KPDN menangani isu kos sara hidup," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah dengan airasia Superapp di sini hari ini.

Menurut laporan Payung Rahmah KPDN, sebanyak 2,922 pengusaha terlibat dalam program Menu Rahmah; dan 19 pasar raya besar dan pasar raya rangkaian menyertai program Jualan Rahmah setakat 30 Jun 2023.

Hari ini, airasia Superapp memperkenalkan tiga inisiatif sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap Payung Rahmah KPDN bagi memudahkan perjalanan dan ketersambungan mampu milik rakyat.

Ia ditawarkan selama tiga bulan mulai hari ini.

airasia Superapp menawarkan promosi RM1 bagi airasia ride di lima kawasan popular terpilih iaitu Putrajaya dan Cyberjaya; Bukit Bintang; Bandar Sunway; Bangsar South dan Mont Kiara -- ia tersedia pada setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 12 tengah hari, untuk 3,000 tempahan pertama setiap hari (tertakluk kepada caj minimum tempahan perjalanan bernilai RM5).

Selain itu, setiap tempahan RM1 airasia ride akan diberi peluang menebus Pakej Rahmah Ride, Fly & Stay dengan pengguna airasia ride itu akan menerima kod promosi RAHMAH50 untuk potongan harga RM50 bagi tempahan hotel dan potongan harga RM50 bagi tempahan penerbangan ke mana-mana destinasi antarabangsa melalui platform OTA (ejen pelancongan dalam talian).

Kod promosi RAHMAH50 juga boleh digunakan secara berasingan untuk mendapatkan potongan harga RM50 bagi tempahan tunggal airasia hotel (tertakluk kepada setiap 100 tempahan pertama setiap hari) atau tempahan tunggal penerbangan OTA di airasia Superapp (tertakluk kepada setiap 100 tempahan setiap hari).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata airasia Superapp turut mempertimbangkan hasrat untuk meneruskan inisiatif tersebut demi kelangsungan hidup rakyat.

"Sudah pasti (kami akan mempertimbangkan untuk meneruskan inisiatif ini), saya bersungguh-sungguh kerana DNA kami adalah untuk mengekalkan kos yang rendah. Dari segi penerbangan, jelas sekali, kami bekerjasama dengan kementerian, realitinya kos telah meningkat, (harga) bahan api telah meningkat, ringgit lebih lemah, semuanya membabitkan kos yang lebih tinggi untuk kami.

"Jadi, itu boleh diturunkan namun dari segi mana? tambang menerusi promosi, Payung Rahmah akan ada selamanya. Saya berpandangan setakat yang saya tahu, seperti AirAsia, kami menawarkan tempat duduk percuma, kami memperkenalkan tambang daripada hanya RM1 (oleh airasia ride). Inilah permulaan untuk kami agak giat dalam pengangkutan e-panggilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 4:16 PM