KERJASAMA antara AirAsia dan Turkish Airlines membolehkan airasia.com memanfaatkan destinasi Turkish Airlines yang komprehensif.
KERJASAMA antara AirAsia dan Turkish Airlines membolehkan airasia.com memanfaatkan destinasi Turkish Airlines yang komprehensif.

AIRASIA.COM menjalin kerjasama dengan Turkish Airlines bagi membolehkannya mengembangkan rangkaian penerbangan pan-Asia susulan jangkaan potensi peningkatan semula perjalanan udara antarabangsa.

Kerjasama itu juga membolehkan airasia.com memanfaatkan destinasi Turkish Airlines yang komprehensif dan mempunyai jaringan terbesar di dunia dari segi negara dan titik penerbangan antarabangsa oleh syarikat penerbangan global, katanya dalam kenyataan, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya mengalu-alukan peluang kerjasama itu termasuk mempromosi Turki sebagai pintu masuk utama ke Eropah apabila sempadan dibuka secara beransur-ansur tahun depan.

"Hari ini, airasia.com yang menawarkan produk perjalanan dan gaya hidup komprehensif juga adalah platform terbaik untuk mempromosi tawaran pelancongan oleh Turki dan pasaran Eropah.

"Kami akan terus bekerjasama secara kreatif dengan pemain industri lain untuk menggalakkan permintaan perjalanan dan melengkapkan tawaran produk untuk keperluan perjalanan dan gaya hidup dalam satu platform," katanya.

Menerusi usaha memanfaatkan teknologi bersepadunya, airasia.com kini dapat menggabungkan inventori penerbangan Turkish Airlines dan penerbangan AirAsia serta menawarkan diskaun hebat.

Airasia berkata, kerjasama itu dapat menghasilkan sinergi antara kedua-dua pihak melalui promosi destinasi secara bersama dengan matlamat untuk memanfaatkan pembukaan sekatan perjalanan antarabangsa akan datang.

Pelancong dan pengembara boleh menikmati kemudahan dan nilai hebat yang ditawarkan di seluruh ekosistem airasia.com seperti penerbangan, hotel dan aktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:00 AM