Bangunan Permodalan Nasional Berhad.
Bangunan Permodalan Nasional Berhad.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerima kira-kira RM3.5 bilion pelaburan baharu dalam tempoh tiga bulan lalu menerusi semua portfolio dananya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, peningkatan dana itu diperoleh daripada kira-kira 96,000 pemegang unit.

Katanya, menerusi prestasi itu, pihaknya turut mengunjurkan peningkatan dana antara RM3 bilion ke RM5 bilion menjelang akhir tahun ini.

"Sejak peningkatan had dana pelaburan bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM), terdapat RM3.5 bilion wang pelaburan baharu direkodkan dalam tempoh tiga bulan lalu.

"Menerusi pelaburan RM3.5 bilion terbabit, sebanyak 30 peratus daripadanya adalah daripada pemegang unit Bumiputera," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Sebelum ini, had untuk ASB dan ASB 2 dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM200,000 bermula 1 April 2023.

Sementara itu, saiz dana ASM dinaikkan sebanyak RM5 bilion bermula 1 Mei 2023.

ASB, ASB 2 dan ASM ditawarkan oleh Amanah Saham Nasional Bhd, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB.

Ahmad Zulqarnain berkata, PNB meningkatkan had untuk tiga dana ini bagi membolehkan penyertaan lebih besar daripada masyarakat Bumiputera dan semua rakyat Malaysia.

"Kami berharap orang ramai akan mengambil peluang untuk menambah simpanan dan pelaburan dengan peningkatan had pelaburan individu dalam ASB dan ASB 2 serta peningkatan saiz dana ASM ini.

"PNB mengiktiraf kepentingan pelaburan yang bertanggungjawab dan kesannya kepada generasi akan datang. Kami menghayati tujuan dan mandat kami sambil menyumbang secara aktif kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 2:20 PM