AHMAD Sarji  (kiri) bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman di Pengumuman Pengagihan Pendapatan ASB2 di Menara PNB, Jalan Tun Razak.
AHMAD Sarji (kiri) bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman di Pengumuman Pengagihan Pendapatan ASB2 di Menara PNB, Jalan Tun Razak.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sulung bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) sebanyak 7.75 sen seunit membabitkan agihan pendapatan tahunan sebanyak 7.50 sen dan pendapatan khas 0.25 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji berkata, lembaga pengarah bersetuju memperuntukkan pembayaran sebanyak RM92 juta sebagai pembayaran agihan pendapatan ASB2.

Katanya, sambutan masyarakat Bumiputera terhadap ASB2 cukup menggalakkan dengan sejumlah langganan sebanyak 2.06 bilion unit oleh 103,545 pemegang unit amanah.

“Pencapaian ini jauh lebih tinggi berbanding prestasi langganan setahun tabung unit amanah berharga tetap yang dilancarkan sebelum ini.

“Tahun kewangan pertama ASB2 dilalui dalam suasana pasaran saham domestik dan keadaan ekonomi global mengalami situasi yang begitu mencabar. Namun, dan pada masa akan datang, ASB2 akan terus melaksanakan strategi yang bersesuaian termasuk membuat pelaburan dengan lebih teliti,” katanya pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASB2 di sini, semalam.

Sehingga 29 Mac 2015, jumlah pendapatan kasar ASB2 adalah sebanyak RM130.6 juta dan pendapatan keuntungan jualan saham menyumbang sebanyak RM86 juta atau 65.8 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar.

Pendapatan dividen diterima daripada pelaburan dalam syarikat menyumbang sebanyak RM30 juta atau 23 peratus manakala selebihnya RM14.6 juta lain-lain pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:33 AM