PNB mempunyai mandat tersendiri yang diamanahkan kerajaan dan bukan berteraskan keuntungan semata-mata.
PNB mempunyai mandat tersendiri yang diamanahkan kerajaan dan bukan berteraskan keuntungan semata-mata.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) komited terus memartabatkan pelaburan patuh syariah di Malaysia dan memperkukuh kedudukannya sebagai firma pelaburan yang diyakini dengan produk patuh syariah.

Ketua Jabatan Pengurusan Syariah PNB, Dr Ahmad Basri Ibrahim berkata, PNB berhasrat terus maju dengan pencapaian lebih ketara melalui pelaksanaan inisiatif berterusan bagi membantu menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan industri pelaburan Islam Malaysia.

Berpandukan objektif itu, PNB komited menjana pulangan mampan untuk pihak berkepentingannya dan pada masa sama, secara proaktif, memainkan peranan memelihara kepercayaan masyarakat terhadap operasi pelaburannya yang patuh syariah.

"PNB mempunyai mandat tersendiri yang diamanahkan kerajaan dan bukan berteraskan keuntungan semata-mata, justeru penting bagi PNB menjalankan proses yang mantap dari hujung ke hujung dalam pemilihan pelaburan. Kami sentiasa berhati-hati kerana PNB melabur dengan menggunakan duit pemegang unit, iaitu rakyat Malaysia.

"PNB mempunyai kelas aset tersendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan trend pelaburan syarikat lain. Kami hanya melabur dalam keadaan meyakinkan," katanya pada taklimat media.

Setakat 31 Disember 2020, aset di bawah pengurusan (AUM) pengurus dana terbesar Malaysia itu terus meningkat kepada RM324.5 bilion.

Ahmad Basri berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan dan semua Jawatankuasa Fatwa Negeri di Malaysia sudah mengiktiraf pelaburan dalam tabung unit Amanah Saham Bumiputera (ASB)/Amanah Saham Nasional (ASN) dan tabung unit amanah lain di bawah syarikat pengurusan milik PNB, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), adalah pelaburan dibenarkan (harus mengikut hukum Islam).

Tambahan pula, PNB juga mempunyai Panel Penasihat Syariah (SAC) yang bertanggungjawab memberi nasihat dan pandangan serta memantau urusan berkaitan pelaburan tabung unit amanah PNB/ASNB supaya ia mematuhi syariah seperti disarankan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"PNB memfokuskan sektor strategik yang berkepentingan kepada negara, selari objektif utama penubuhan PNB iaitu meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, SAC PNB, yang kini dipengerusikan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, adalah badan berkecuali yang terdiri daripada cendekiawan/ulama syariah, pakar undang-undang dan pengamal pasaran kewangan terkemuka.

Panel itu bersidang empat kali setahun dan melakukan semakan status patuh syariah ke atas syarikat pelaburannya bagi setiap tiga tahun untuk memastikan ia kekal patuh syariah.

Semakan seterusnya ditetapkan pada 2023.

Katanya, PNB komited memastikan semua dana unit amanah ASNB kekal patuh syariah mengikut prinsip dan kaedah penyaringan Maqasid Syariah dipersetujui SAC PNB.

Beliau berkata, saiz pelaburan PNB sangat besar sehingga industri kewangan dan pasaran modal Islam masih tidak mencukupi untuk menampungnya.

Justeru, PNB mewujudkan saringan maqasid syariah, melakukan beberapa inisiatif penambahbaikan dan menstrukturkan pelaburannya bagi mencapai matlamat dan memastikan ia patuh syariah, katanya.

"Setakat 30 September, 2021 jumlah saiz keseluruhan modal pasaran bagi lebih 900 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah RM1.8 trilion, tetapi bagi syarikat yang patuh syariah, saiz modal pasaran hanya 67.8 peratus bersamaan RM1.2 trilion.

"Kebanyakan syarikat yang tidak melepasi kriteria patuh syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bukan kerana isu aktiviti perniagaan seperti terbabit arak dan judi, tetapi kerana nisbah kewangan mereka, di mana hutang dengan bank konvensional melebihi 33 peratus daripada jumlah aset syarikat.

"Selain patuh syariah, saringan maqasid syariah PNB turut mengklasifikasikan syarikat dengan sewajarnya berdasarkan sumbangan kepada masyarakat. Oleh itu, jangan salah faham sekiranya PNB melabur dalam syarikat tidak patuh syariah oleh SC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 9:06 AM