(Dari kiri) Ketua Divisyen, Operasi Stor, Maxvalu, Flat Price, Daiso & Komaiso, Tomokazu Furuki; Ketua Divisyen, Operasi GMS dan myAEON2go, Audrey Lim; Ketua Pegawai Perdagangan dan Pemasaran AEON, Low Ngai Yuen dan Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed pada pelancaran kempen 'Setiap Hari Segar, Setiap Hari Harga Rendah'.
(Dari kiri) Ketua Divisyen, Operasi Stor, Maxvalu, Flat Price, Daiso & Komaiso, Tomokazu Furuki; Ketua Divisyen, Operasi GMS dan myAEON2go, Audrey Lim; Ketua Pegawai Perdagangan dan Pemasaran AEON, Low Ngai Yuen dan Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed pada pelancaran kempen 'Setiap Hari Segar, Setiap Hari Harga Rendah'.
Suliati Asri


Putrajaya: AEON komited memberi harga terendah kepada pelanggannya menerusi pelancaran kempen 'Setiap Hari Segar, Setiap Hari Harga Rendah' bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ketua Barang Dagangan dan Pegawai Pemasaran AEON Malaysia, Low Ngai Yuen berkata, pihaknya memberi jaminan dan komited untuk mencari penyelesaian kepada kekangan belanjawan isi rumah.

Katanya, kempen itu bertujuan untuk menyediakan pelanggan dengan harga yang konsisten dan berpatutan bagi barangan segar tanpa mengurangkan kualiti dan ketersediaan sepanjang tahun di semua cawangan AEON, AEON BiG dan MaxValu Prime di seluruh negara, serta pada platform dalam talian, myAEON2go.

"Di AEON, kami komited mencari penyelesaian terbaik untuk memenuhi bajet isi rumah di negara ini dan kami sudah menyediakan kira-kira 60 produk termasuk hasil segar terus dari ladang serta pelbagai barangan runcit dan bukan makanan di mana kesemua produk ini dipastikan mempunyai harga rendah setiap hari.

"Kami berjanji untuk terus menyokong pelanggan kami yang berdepan ketidaktentuan cabaran dalam kewangan mereka.

"Walaupun kami turut menghadapi kenaikan kos bekalan makanan daripada bahan mentah sehingga kepada tenaga kerja dan pengangkutan, AEON masih mengutamakan pelanggan," katanya di majlis pelancaran kempen 'Setiap Hari Segar, Setiap Hari Harga Rendah' AEON di sini, hari ini.

Sebahagian peserta ‘Supermarket Sweep’.
Sebahagian peserta ‘Supermarket Sweep’.

Majlis sama turut menyaksikan penyertaan pengamal media dan pempengaruh dalam aktiviti 'Supermarket Sweep' yang memerlukan peserta mendapatkan 25 barangan dalam tempoh lima minit.

Menurutnya, kempen berkenaan tidak hanya terhad untuk barangan makanan sebaliknya meliputi barangan runcit dan bukan makanan.

"Kami juga mempertimbangkan untuk menyenaraikan pakaian asas atau kasut dan memandangkan persiapan kembali ke sekolah akan bermula, kami turut akan memasukkan pakaian seragam sekolah dalam kempen ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 3:14 PM