Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Mohd Sayuti Bakar (kanan) bersama Pengarah Urusan Aeon Co Sdn Bhd, Keiji Ono (tengah) merasmikan pembukaan semula Aeon Mall Cheras Selatan. - FOTO NSTP
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Mohd Sayuti Bakar (kanan) bersama Pengarah Urusan Aeon Co Sdn Bhd, Keiji Ono (tengah) merasmikan pembukaan semula Aeon Mall Cheras Selatan. - FOTO NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Aeon Co (M) Bhd (Aeon) mengambil langkah proaktif dengan 'mengunci harga' bagi 250 barangan keperluan terpilih untuk tempoh tiga bulan bermula semalam.

Inisiatif itu berlangsung di semua 28 Aeon Mall dan 34 stor Aeon seluruh negara sehingga penghujung Februari tahun depan.

Antara barangan keperluan yang dikenal pasti ialah syampu, pelembut fabrik, sabun basuh, minyak masak, mi dan susu.

Pengarah Urusan Aeon, Keiji Ono berkata, langkah itu diambil sebagai komitmen bagi membantu pelanggan menangani kenaikan kos sara hidup.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada 'Kempen Everyday Fresh Everyday

Low Price' yang dilancarkan awal tahun ini," katanya semasa berucap pada majlis pembukaan semula Aeon Mall Cheras Selatan di sini semalam.

Ia dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Melalui proses naik taraf dan pengubahsuaian Aeon Mall Cheras Selatan, pelanggan berpeluang menikmati pelbagai kemudahan dan pengalaman membeli-belah yang baharu termasuk kaunter pembayaran layan diri serta produk berkualiti tinggi di bawah jenama Home Coordy dan Inner Casual (iC).

Pusat membeli-belah ini juga kini dilengkapi dengan panel solar yang terletak di kawasan tempat letak keretanya.

Mengulas lanjut, Ono berkata, kempen ini juga bertujuan bagi menyediakan pengalaman membeli-belah tanpa kerisauan kepada pelanggan.

"Selari dengan komitmen Aeon untuk memberi kepuasan kepada pelanggan serta menawarkan harga yang konsisten dan berpatutan tanpa mengorbankan kualiti barangan.

"Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kami untuk memberi keutamaan kepada ketenangan pelanggan sambil memastikan aksesibiliti kepada barangan keperluan harian dengan harga berpatutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 1:07 PM