Rastam (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada Mohd Najwan (tiga dari kiri) selepas acara perasmian Kejohanan Bola Sepak Terbuka Bright Cow Junior Cup 2023. - FOTO FGV
Rastam (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada Mohd Najwan (tiga dari kiri) selepas acara perasmian Kejohanan Bola Sepak Terbuka Bright Cow Junior Cup 2023. - FOTO FGV
Muhamad Shaifullah Tayep

BANGI: FGV Holdings Berhad (FGV) menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Terbuka Bright Cow Junior Cup 2023 bagi memupuk tumbesaran sihat melalui gaya hidup aktif dan pemakanan yang baik.

Ia juga bagi mencungkil potensi sukan kanak-kanak di peringkat awal dan dijadikan salah satu platform untuk menyerlahkan bakat mereka khususnya dalam arena sukan bola sepak.

Bersesuaian dengan slogan susu UHT Bright Cow yang dilancarkan September lalu iaitu "Serlahkan Potensi Dengan Khasiat Susu", FGV percaya bakat dan kebolehan kanak-kanak perlu dicungkil dengan peluang untuk bersaing di kejohanan seumpama ini.

Pengerusinya Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, bagi memastikan kanak-kanak sentiasa sihat dan kuat, pastinya kesihatan serta pemakanan mereka perlu dititikberatkan bagi membekalkan khasiat harian yang diperlukan tubuh badan mereka.

"Sebagai salah satu pemain makanan utama di Malaysia, FGV sedang berusaha untuk mendefinisikan semula peranan kami kepada sebuah syarikat yang memperjuangkan agenda makanan dan produk agri lestari untuk semua rakyat Malaysia.

"Selain jenama Bright Cow, FGV menyokong penuh agenda sekuriti makanan negara dengan menyediakan produk makanan berkualiti tinggi dan berkhasiat pada harga yang berpatutan untuk setiap lapisan masyarakat menerusi pelbagai jenama barangan pengguna kami yang lain seperti SAJI, ADELA, SERI PELANGI, GULA PRAI dan LADANG' 57," katanya ketika merasmikan kejohanan berkenaan yang diadakan di Arena Owl Trafford, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan dan Pegawai Bertanggungjawab Ketua Pegawai Produk Pengguna FGV, Salman Ghazali, Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya serta Ketua Pegawai Eksekutif FGV Dairy Industries Sdn Bhd, Datuk Iszhar Ibrahim.

Image

Kejohanan ini disertai 52 pasukan yang bertanding di bawah tiga kategori berbeza iaitu bawah 12 tahun, bawah 10 tahun, dan bawah 8 tahun.

Peringkat pertama mengguna pakai format liga, manakala pusingan seterusnya menggunakan format kalah mati untuk merebut gelaran juara kategori masing-masing.

Lebih 2,000 penyokong hadir menunjukkan sokongan dan ini adalah permulaan yang baik untuk Bright Cow komited dalam menganjurkan acara ini pada tahun-tahun akan datang.

Rastam berkata, Bright Cow ialah jenama tenusu keluaran FGV dan sudah menembusi pasaran tempatan sejak 2020.

Katanya, selain jenama Bright Cow, FGV komited sepenuhnya, menyokong agenda keterjaminan makanan negara dengan menyediakan produk makanan berkualiti tinggi dan berkhasiat pada harga berpatutan untuk setiap lapisan masyarakat.

"Kami menawarkan rangkaian produk berasaskan tenusu seperti susu segar, kefir berperisa, yogurt segar, yogurt berperisa, minuman yogurt dan produk keju.

"Saya percaya, produk Bright Cow mampu menjadi produk tenusu yang mesra dengan masyarakat dan akan terus menyumbang kepada usaha menggalakkan diet yang sihat di kalangan rakyat, terutamanya kanak-kanak.

"Begitu juga dengan acara Bright Cow Junior Cup 2023 ini, saya harap ia akan menjadi titik permulaan yang baik bagi melahirkan anak muda yang lebih aktif dan cergas dari sudut minda dan fizikal," katanya.

Sementara itu, Salman berkata FGV menumpukan dua hala tuju untuk mengembangkan perniagaan makanan negara iaitu komersial dan sekuriti makanan bagi melahirkan sebuah syarikat makanan yang disegani dalam masa lima hingga 10 tahun.

"Kami akan memastikan bahawa inisiatif seperti ekuiti jenama, promosi dan kuasa diperhalusi dan diperkembangkan supaya dapat mempromosikan lebih banyak jenis produk yang berlainan.

"Kami juga akan mengenalpasti jenis makanan yang penting untuk negara supaya dapat menghasilkan produk keperluan pada harga berpatutan, mudah akses dan mencukupi," katanya.

Image

FGV sedang mengadakan promosi jualan susu UHT Bright Cow pada harga RM7.99 (harga runcit RM10.80) untuk pek 6 x 200ml penuh krim dan perisa coklat sehingga 31 Disember 2023 di AEON BiG dan CS Brothers.

Produk tenusu lain seperti yogurt dan kefir juga boleh didapati di lebih 800 pasar raya termasuk AEON, AEON BiG, Mydin, Giant, Cold Storage, Mercato, Village Grocer, B.I.G, Jaya Grocer, Lotus's, Star Grocer, AEON MaxValu Prime, ST Rosyam, Sri Ternak, Hero Market dan NSK.

Untuk maklumat lanjut mengenai susu UHT Bright Cow dan rangkaian produk tenusu Bright Cow yang lain, sila layari platform media sosial Bright Cow di @brightcowmalaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang FGV, tonton video korporat baharu mereka di platform media sosial FGV Holdings di Facebook, Instagram, TikTok, LinkedIn dan YouTube, serta laman web di www.fgvholdings.com.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 12:33 PM