FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Industri teknologi perlu dikecualikan daripada kenaikan tarif elektrik untuk melindungi pengguna dan mengekalkan daya saing, menurut Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM).

Pengerusinya Ong Chin Seong berkata ia berikutan impak kenaikan tarif elektrik, pada akhirnya mungkin dilepaskan kepada pengguna.

"Banyak syarikat masih bekerja keras untuk membina kembali perniagaan selepas pandemik.Tambahan lagi, peningkatan harga elektrik akan menyumbang kepada inflasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ong, pelaksanaan kenaikan tarif elektrik mungkin menghalang syarikat multinasional (MNC) berpotensi untuk beroperasi di Malaysia di samping mendorong MNC yang beroperasi di negara ini untuk berhijrah ke negara lain.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan tarif elektrik kepada pengguna domestik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pertanian dan pengeluar makanan.

"Jika dikenakan pun (kenaikan tarif elektrik) hanya terhadap MNC yang eksport kerana tarif terlalu rendah buat mereka dan subsidi itu tidak harus diberikan kepada syarikat gergasi yang untungnya tinggi," kata Anwar.

Ong berkata walaupun PIKOM menyokong usaha kerajaan terhadap pemulihan ekonomi dan melihat kepentingan rakyat, ia berharap peserta industri utama akan turut menerima pengecualian itu.

"PKS, syarikat telekomunikasi dan pusat data ini penting berikutan mereka menyokong pertumbuhan pasaran domestik di samping memacu inisiatif digitalisasi negara," katanya.

Bagaimanapun, sekiranya kenaikan tarif elektrik dikenakan, Ong berkata kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan pelan subsidi atau melaksanakan kenaikan itu dalam fasa strategik misalnya memberikan ambang rangka masa, termasuk rebat cukai kepada syarikat-syarikat yang membayar tarif lebih tinggi.

"Kita juga perlu mempertimbangkan pelabur seperti hyperscaler awan yang menggajikan ramai pekerja tempatan berkemahiran tinggi," katanya.

PIKOM ialah persatuan digital dan teknologi terbesar di Malaysia yang mempunyai lebih 1,000 ahli termasuk perusahaan teknologi besar, PKS teknologi, hyperscaler awan, pembangun perisian, syarikat telekomunikasi, pusat data dan syarikat perkhidmatan guna sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 5:34 PM