Oleh Afiq Hanif

Kesan harga minyak tidak akan memberi kesan kepada perbelanjaan perkhidmatan telekomunikasi seperti langganan Internet dan sebagainya.

Pengurus Penyelidik Telekomunikasi IDC Malaysia, Alfie Amir berkata, meskipun harga minyak yang tidak menentu bakal menyebabkan pengguna mengambil langkah berjimat cermat, namun bukan dengan memotong perbelanjaan komunikasi.

"Memang betul pengguna akan memotong perbelanjaan, namun memotong perbelanjaan perkhidmatan telekomunikasi adalah perkara terakhir yang akan dilakukan," katanya.

Menurutnya, trend impak purata pendapatan setiap unit (ARPU) kekal stabil di sebalik kenaikan harga petrol dan tarif elektrik pada awal tahun ini.

"ARPU untuk talian tetap dan mudah alih masing-masing dijangka terus bertambah lima dan 0.2 peratus dalam tempoh lima tahun," kata Alfie.

Namun jika berlaku kenaikan harga petrol, ia hanya memberi impak kepada operasi syarikat telekomunikasi seperti pengangkutan, penyelenggaraan rangkaian dan pemasangan.

"Tetapi syarikat telekomunikasi tidak akan menaikkan kadar harga pelan dan sebagainya untuk terus relevan di pasaran serta mengekalkan pelanggan," katanya.

Beliau berkata, IDC menjangkakan pendapatan syarikat telekomunikasi di Malaysia akan terus meningkat stabil pada CAGR tiga peratus untuk tempoh lima tahun.

"Kesan harga petrol hanya terjurus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila mereka akan lebih berhati-hati dan mencari alternatif lain yang lebih menjimatkan.

"Ia selari dengan kajian kami apabila 58 peratus PKS merancang mengekalkan atau memotong perbelanjaan pembekal perkhidmatan telekomunikasi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:01 AM