GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiada perancangan untuk mewajibkan pemasangan 'dashcam' atau kamera papan pemuka bagi semua kenderaan di negara ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata walaupun kementerian ada menerima beberapa cadangan mengenainya, namun pihaknya perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kos yang perlu ditanggung rakyat sekiranya ia diwajibkan.

"Akan tetapi, kita mengalakkan pemasangan dashcam terutamanya pada kenderaan-kenderaan daripada pengilang.

"Kalau mereka boleh pasang (dashcam) bersekali dengan kereta baharu, itu amat kita galakan tetapi setakat ini kita belum mewajibkan lagi," katanya kepada media selepas menghadiri program sesi libat urus Menteri Pengangkutan Bersama Editor Media di sini hari ini

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pengangkutan Datuk Normah Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan, Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Haikal Isa.

Selain itu, Loke turut mengalakkan syarikat pengusaha bas untuk memasang peranti tersebut agar dapat merakam dan dijadikan bahan bukti sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Pemasangan dashcam ini satu bukti sekiranya berlaku kemalangan untuk mengetahui siapa yang bersalah atau yang patut bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Loke berkata statistik kemalangan jalan raya pada tahun lepas mencatatkan sebanyak 600,000 kemalangan manakala jumlah kematian adalah sebanyak lebih 6,500 orang.

"Kalau kita lihat statistik, puratanya adalah 15 hingga 17 orang meninggal setiap hari dan jumlah ini satu angka yang besar.

"Setiap orang yang meninggal, bagi kita (kementerian) ini adalah satu tragedi yang tidak perlu berlaku kerana kemalangan jalan raya ini boleh dielakkan jika setiap pemandu mengambil sikap berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya," katanya.

Justeru itu, Loke berharap orang ramai dapat menjadi pemandu berhemah, sentiasa peka dan berhati-hati bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 1:22 PM