Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan meminta semua pihak agar menunggu pengumuman sama ada Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dinaikkan atau tidak.

Katanya, kenaikan OPR sebelum ini daripada 1.75 peratus kepada 2.75 peratus berjaya mengekang kadar inflasi.

"Adakah OPR ini akan dinaikkan pada masa akan datang? Kita tunggu. Yang penting dengan kenaikan OPR daripada 1.75 kepada 2.75 itu telah berjaya mengekang kadar inflasi.

"Dijangka kadar inflasi pada tahun ini ialah 3.3 peratus lebih rendah daripada sebelum ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) sama ada akan berlaku kenaikan OPR selepas ini dan langkah-langkah jangka pendek serta sederhana diambil oleh Kementerian Kewangan dalam menghadapi suasana ini.

Ahmad menjelaskan, penurunan OPR kepada 1.75 peratus semasa negara ini dilanda Covid-19 adalah bagi membantu rakyat.

"OPR diturun ketika Covid-19 kepada 1.75. Antara punca penurunan OPR ketika Covid-19 adalah untuk membantu rakyat.

"Kemudian OPR telah dinaikkan secara berperingkat," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, penganalisis memberikan pandangan berbeza mengenai kemungkinan OPR dikekalkan lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 9 Mac.

Pada mesyuarat MPC terakhir pada Januari 2023, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar utama itu pada 2.75 peratus selepas membuat kenaikan 100 mata asas (bps) kumulatif sejak Mei 2022.

AHMAD. FOTO Bernama
AHMAD. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 11:51 AM