BERNAMA

Kuala Lumpur: Penganalisis memberikan pandangan bercampur-campur mengenai kemungkinan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) seterusnya pada 9 Mac.

Pada mesyuarat MPC terakhir pada Januari 2023, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar utama itu pada 2.75 peratus selepas membuat kenaikan 100 mata asas (bps) kumulatif sejak Mei 2022.

Dalam satu laporan, RHB Research mengatakan bank pusat dijangka meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas berdasarkan tiga pemangkin utama.

"Inflasi Indeks Harga Pengguna Teras (IHP) berkemungkinan kekal meningkat pada suku kedua 2023, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) berada pada trajektori yang menurun dan risiko pengumuman pengembalian semula Cukai Barang dan Perkhidmatan pada separuh kedua 2023 dan pelarasan subsidi bahan api yang disasarkan meningkat," katanya dalam satu nota hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata ramalan OPR 2023 puncak dikekalkan pada 3.25 peratus, dengan baki berisiko cenderung ke arah 3.50 peratus.

Pada keseluruhannya, ia berkata kadar faedah sebenar terlalu rendah dalam persekitaran momentum ekonomi yang kukuh dan berkemungkinan kekal berada di atas aliran untuk sebahagian besar 2023.

"Ini membimbangkan kerana ia mendorong tekanan sampingan permintaan dan mendorong tekanan menaik pada inflasi IHP teras," katanya.

Sementara itu, AmBank Research dalam satu nota berkata kebarangkalian kenaikan kadar pada Mac 2023 mereda berbanding penilaian awalnya pada awal tahun ini.

"Kini kami melihat kenaikan kadar hanya akan berlaku pada suku kedua 2023 atau seterusnya, bergantung kepada petunjuk selanjutnya serta setakat mana data inflasi domestik berkembang pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Ia merujuk kenyataan MPC pada Januari bahawa satu sebab untuk mengekalkan kadar adalah untuk membolehkannya menilai kesan kumulatif pelarasan OPR lepas, mengambil kira kesan lewat dasar monetari terhadap ekonomi.

"Untuk menentukan kesan lewat daripada normalisasi kadar yang telah berlaku sejak Mei 2022 mungkin memerlukan jangka masa yang lebih lama. Analisis kami menunjukkan kesan kenaikan kadar faedah akan berlaku dalam tempoh lapan hingga 10 bulan," kata AmBank Research.

Mengenai petunjuk selanjutnya, firma penyelidikan itu berkata pengeluaran Laporan Tahunan BNM 2022 lewat bulan ini boleh memberikan penilaian yang lebih dinamik terhadap ekonomi dan inflasi.

"Justeru, kami mengekalkan penilaian kami untuk peningkatan 25 mata asas lagi (pada suku kedua dan seterusnya), membawa OPR kembali ke tahap sebelum pandemik iaitu 3.00 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 6:42 PM