PMKS menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2022.
PMKS menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2022.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Agenda perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), digitalisasi dan wanita akan menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2022 yang melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) seiring dengan objektif negara menuju pemulihan ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga akan terus komited membentuk sistem penjagaan kesihatan bagi jangka masa sederhana dan panjang untuk memastikan akses dan liputan mencakupi keseluruhan populasi.

"Perbelanjaan dan pelaburan kesihatan juga akan dipertingkatkan dengan perkongsian penjagaan kesihatan swasta yang lebih baik.

"Kerajaan akan memberi penekanan untuk memelihara pertumbuhan Malaysia dalam Belanjawan 2022 seiring dengan kemajuan negara menuju pemulihan dan peralihan daripada wabak ini.

"Tujuannya adalah untuk meminimumkan kesan ekonomi dan membantu mereka yang terjejas, di mana PMKS dan wanita adalah antara kumpulan paling teruk terkesan di Malaysia kerana pandemik Covid-19," katanya di majlis pelancaran Laporan Generasi Digital Asean secara maya, hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, jumlah perbelanjaan kerajaan untuk kesihatan juga meningkat dengan stabil dalam satu dekad lalu, hampir dua kali ganda iaitu RM33 bilion atau 4.0 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2010 kepada sekitar RM64 bilion atau lebih dari 4.3 peratus daripada KDNK pada 2019.

Menurutnya, pada 2021 sahaja, peruntukan untuk sektor ini meningkat kepada 5.0 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, peranan e-dagang dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan di Asean dengan sektor perdagangan borong dan runcit mempunyai peratusan tertinggi bagi mereka yang memilih untuk memulakan perniagaan baru.

Menerusi Laporan Generasi Digital Asean, kajian menunjukkan bahawa sebilangan besar responden telah menyesuaikan diri dengan cabaran wabak ini dan penggunaan digital yang signifikan di seluruh Asean, 64 peratus responden pula telah melakukan digitalisasi dan 74 peratus responden pemilik PMKS.

Responden yang melaporkan tahap digitalisasi mereka lebih tinggi dari segi kerja dan perniagaan menunjukkan tahap penurunan pendapatan lebih rendah.

Begitu juga dengan pemilik perniagaan dengan kehadiran dalam talian lebih cenderung melaporkan peningkatan simpanan (24 peratus) dan pendapatan (28 peratus) berbanding mereka yang tidak mempunyai perniagaan (18 peratus).

Tinjauan itu membabitkan penyertaan hampir 86,000 responden yang mengambil kira jurang diperlukan untuk membina ekonomi lebih inklusif dan lestari, iaitu akses kepada teknologi, latihan kemahiran digital untuk semua generasi dan langkah untuk meningkatkan kepercayaan dan keselamatan dalam talian.

Walaupun pemilik PMKS melaporkan penurunan pendapatan ketika pandemik, hasil tinjauan mengesahkan peranan e-dagang sebagai pemacu utama pertumbuhan di Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:53 PM