GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Belanjawan 2023 yang diumumkan kerajaan adalah terbesar dalam sejarah negara iaitu RM388.1 bilion melebihi RM372.3 bilion yang pernah dicadangkan oleh kerajaan terdahulu dengan lonjakan RM56 bilion berbanding RM332.1 bilion pada 2022.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, belanjawan mengembang itu dilihat adalah yang terbaik untuk negara terutama memacu ekonomi domestik dalam menghadapi kemelesetan ekonomi global tahun 2023.

Katanya, belanjawan kali ini lebih besar dari dahulu namun boleh menghadapi cabaran mengelakkan hutang negara daripada bertambah.

"Daripada Belanjawan 2023, seperti tahun lalu peruntukan yang terbanyak adalah kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan, menunjukkan kerajaan mengekalkan fokus sejak negara merdeka iaitu kebajikan rakyat dan masa depan negara bergantung kepada generasi muda.

"Dengan perbelanjaan sebesar ini dijangka memberikan tekanan kewangan kepada kerajaan untuk mengimbangkan antara dasar fiskal dan mengurangkan hutang negara yang mencecah RM1.2 trilion.

"Kerajaan juga memaklumkan unjuran pendapatan RM291.5 bilion adalah lebih rendah berbanding RM294.4 bilion pada 2022 dan ini memberikan cabaran getir kerana kerajaan juga mahu mengurangkan defisit fiskal kepada 5.0 peratus.

"Bagaimanapun ia adalah belanjawan yang lebih komprehensif dengan Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri menggariskan landasan kewangan negara terutamanya hutang negara yang tinggi, tentangan terhadap rasuah, penyelewengan dan pembaziran dan masa sama mencari jalan memperbaiki kebajikan rakyat, kesinambungan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, semua cabaran ini tidak mungkin dapat ditangani dalam tempoh yang singkat seperti hanya satu belanjawan tahunan kerajaan sahaja dan situasi yang dibentangkan itu memerlukan penstrukturan semula ekonomi yang pastinya akan mengambil lebih masa.

Beliau berkata, ada juga beberapa perkara yang diketengahkan kerajaan iaitu memperkenalkan subsidi bersasar yang mengambil pendekatan progresif dan pengagihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) berkala.

"Selain itu, tarif elektrik telah dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan PMKS, manakala cukai barang mewah dan cukai untuk rokok elektronik adalah sesuatu yang inovatif dan sepatutnya masing-masing diperkenalkan untuk meningkat pendapatan kerajaan.

"Satu lagi pendekatan terbaru, adalah kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024.

"Ini dapat memperbaiki pendapatan kerajaan kerana banyak syarikat persendirian yang berada dalam situasi kewangan lebih baik.

"PMKS juga tetap dibela oleh kerajaan dengan pelbagai bantuan kewangan termasuk pengurangan kadar cukai sebanyak 2.0 peratus kepada 15 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 11:54 AM