NORAINI (enam dari kiri), Dzulkifli (enam dari kanan) dan Wee (lima dari kiri) bersama sebahagian pembentang kertas kerja pada Sidang Kemuncak Pemacu e-Dagang 2016: eTrade Rentas Sempadan, semalam.
NORAINI (enam dari kiri), Dzulkifli (enam dari kanan) dan Wee (lima dari kiri) bersama sebahagian pembentang kertas kerja pada Sidang Kemuncak Pemacu e-Dagang 2016: eTrade Rentas Sempadan, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pertumbuhan e-Dagang negara dijangka meningkat secara signifikan terutama menerusi Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan yang diwujudkan dan bakal dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi.

Pengarah Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC), Wee Huay Neo berkata, berikutan pertumbuhan e-Dagang negara 10.8 peratus direkodkan setakat ini, banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan untuk memastikan ia mencapai sasaran 20.8 peratus menjelang 2020.

Katanya, pelan terbabit adalah hasil perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Melihat kepada potensi besar e-Dagang dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, pelan hala tuju ini sangat diperlukan.

“Terdapat enam tonggak akan direalisasikan termasuk pemansuhan sekatan bukan tarif, pelarasan semula insentif ekonomi sedia ada serta mempromosikan jenama nasional untuk melonjakkan e-Dagang rentas sempadan,” katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Pemacu e-Dagang 2016: eTrade Rentas Sempadan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Matrade Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud.

Wee berkata, terdapat satu bilion pembeli digital di seluruh dunia dan 87 juta berada di ASEAN.

“Justeru, saya menggesa setiap orang mengambil peluang untuk memanfaatkan perdagangan rentas sempadan melalui e-Dagang malah mencapai pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata, MDEC dan Matrade turut melancarkan Program eTRADE pada 2014 bertujuan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan penguasaan pasaran mereka ke peringkat global.

“Setakat ini, program terbabit berjaya mendapatkan sehingga 14 e-Pasaran antarabangsa, segmen perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) serta perniagaan-kepada-pengguna (B2C) menawarkan pelbagai peluang kepada PKS Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 6:57 AM