NORASHIKIN (depan, lima dari kiri) bersama media dan ejen perumahan pada Majlis Taklimat Media Sempena Pameran BPEX 2022.
NORASHIKIN (depan, lima dari kiri) bersama media dan ejen perumahan pada Majlis Taklimat Media Sempena Pameran BPEX 2022.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kira-kira 8,000 unit kediaman dengan nilai RM6 bilion untuk kuota Bumiputera ditawarkan sempena Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2022 di Mid Valley Exhibition Centre di sini, pada 1 dan 2 Oktober depan.

Hampir 3,000 unit dari pemaju di sekitar Kuala Lumpur yang bernilai hampir RM2 bilion dan 5,000 unit dari pemaju Selangor bernilai RM4 bilion akan ditawarkan sepanjang BPEX 2022.

Pengarah Urusan MMC Sdn Bhd, Datuk Norashikin Taib berkata, harga kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Selangor itu bermula dari anggaran kira-kira RM250,000 sehingga RM1.6 juta.

Katanya, pameran kali ini membawa aspirasi kerajaan yang memperkenalkan skim menarik seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dari Kementerian Kewangan, Skim Rumah Pertamaku (SRP) dari Cagamas, Skim PRIMA Rent-To-Own (RTO) yang mana golongan Bumiputera dapat meraih peluang untuk memiliki rumah di sekitar Lembah Klang.

"Tujuan utama pameran ini adalah untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam bidang hartanah dan menggalakkan Bumiputera khususnya orang Melayu, celik hartanah dan menyahut aspirasi kerajaan untuk meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera sebanyak 30 peratus.

"Kami menyasarkan transaksi jualan RM100 juta pada hari pembukaan pameran dan kira-kira 10,000 pengunjung sepanjang dua hari BPEX 2022 berlangsung.

"Lebih istimewa pembeli Bumiputera dapat membuat pelbagai pilihan hartanah dan menikmati harga promosi kuota Bumiputera dan juga diskaun sehingga 15 peratus.

"Promosi lain berupa subsidi percuma perjanjian jual beli, setem duti dan pelbagai lagi seperti kelengkapan kabinet dapur, baucar perabot dan peralatan elektrikal percuma juga akan disediakan oleh pemaju yang mengambil bahagian," katanya pada sidang media di prapelancaran BPEX 2022 di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, ada 50 pemaju bakal mempamerkan unit kediaman masing-masing di mana 20 daripadanya dari Kuala Lumpur.

Antara pemaju yang terbabit adalah Platinum Victory, PKNS, SP Setia, Malton Berhad, OCR Group Berhad, MCT Berhad, IJM Corporation Berhad, UEM Sunrise, EUPE Corporation Berhad, MKH Berhad, Glomac Group dan TS Law.

BPEX 2022 akan diadakan di Dewan 3, Mid Valley Exhibition Centre, dari jam 11 pagi hingga 9 malam. Masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 6:00 AM