PENGASAS MyCribBooking.com, Akmal Nizam Abdul Halim menyampaikan ceramah ketika pameran MyRumah 2019. FOTO Hairul Anuar Rahim
PENGASAS MyCribBooking.com, Akmal Nizam Abdul Halim menyampaikan ceramah ketika pameran MyRumah 2019. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Amanina Suhaini

PENGUNJUNG Pameran hartanah, MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Komtar JBCC, Johor Bahru tidak melepaskan peluang menyertai sesi ceramah dan mengunjungi ruang pameran disediakan.

Pekerja swasta, Muhammad Hakim Zainuddin, 27, yang mengetahui pameran hartanah itu menerusi Facebook (FB) hadir seawal 9 pagi bagi menyertai pelbagai program disediakan.

Katanya, sebagai belia yang mengimpikan rumah pertama, ilmu tentang hartanah dan perancangan pembelian rumah amat penting bagi mengelak sebarang kerugian mahupun penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“MyRumah sediakan sesi ceramah menarik. Sekadar mengetahui tidak memadai, apa yang dicari adalah pemahaman tentang hartanah dan lokasi perumahan strategik.

“Saya boleh merancang masa depan, di samping bertanya apa yang saya perlu tahu menerusi ‘trusted’ pemaju,” katanya ketika ditemui di Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, pengurus pembangunan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Zulkefli Md Noor, 45, berkata, sebagai bumiputera, banyak manfaat yang boleh diperolehi menerusi jenis perumahan yang ditawarkan pemaju.

Beliau yang datang dari Muar berkata, diharap program MyRumah seumpama ini dapat diadakan secara berterusan kerana penduduk di Johor amat memerlukan rumah berikutan peluang pekerjaan banyak di sini.

“Peluang kerja banyak, mesti ramai seperti saya terutama sudah berkeluarga mahu cari rumah sendiri berbanding rumah sewa.

“Peluang ceramah secara percuma ini turut perlu dimanfaatkan kerana banyak maklumat terutama mengenai hartanah serta pelaburan aset boleh dipelajari,” katanya.

MyRumah 2019 di Johor menawarkan lebih 3,397 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion.

Siri ketiga pameran hartanah MyRumah Komtar JBCC ituberlangsung sejak jam 10 pagi hingga jam 10 malam disertai lapan pemaju iaitu Bukit Pelali Properties Sdn Bhd, Dynasty View Sdn Bhd, GuocoLand (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad, KPKT serta Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seri Alam Properties Sdn Bhd dan UDA Land (South) Sdn Bhd.

Ia turut disertai MBSB Bank Berhad, Lionmas Furnishers (M) Sdn Bhd, Oriental Food Industries Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd.

Terdahulu, siri pertama MyRumah dianjurkan di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur, pada Mac lalu dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sebelum diteruskan ke pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, bulan lalu.

Selepas Johor Bahru siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 akan berlangsung di Ipoh dan Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 4:15 PM