Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menjangkakan tiga siri ekspo hartanah anjurannya, Ekspo Hartanah Malaysia 2015 (Mapex) mampu mencatat jualan berpotensi sehingga RM1 bilion bersandarkan prestasi dua siri Mapex yang dianjurkan pada 2014.

Mapex ialah acara pameran jualan dan dialog dalam sektor hartanah yang diadakan secara bersiri oleh Rehda setiap tahun dan setakat 2014, acara berkenaan mencatatkan potensi jualan RM563 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Mapex, Datuk Ng Seing Liong berkata, Mapex 2015 siri pertama di Lembah Klang diadakan pada 3 hingga 5 April 2015 di Mid Valley Exhibition Centre, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, terdapat 20,000 unit hartanah jenis kediaman dan komersial yang dipamerkan oleh 80 pemaju tempatan dalam acara tiga hari berkenaan.

“Mapex kali ini mempamerkan tema hijau dan rumah mampu milik yang memberi peluang kepada pembeli untuk menduduki kediaman atau pelabur untuk meninjau trend kediaman masa kini.

“Kami juga mengadakan beberapa siri dialog mengenai beberapa isu yang dikongsi bersama pakar antaranya kesan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada hartanah dan persoalan keperluan membeli produk hartanah hijau. Ia dibuka kepada orang ramai secara percuma,” katanya pada taklimat Mapex di sini, baru-baru ini.

Kemasukan orang ramai ke Mapex percuma dan turut disertai lima institusi kewangan iaitu Maybank, Bank Islam, Affin Bank dan Affin Islamic Bank, Bank Simpanan Nasional serta Hong Leong Bank.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:08 AM