Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merasmikan pasar raya Lulu di Setia Ecohill Walk Mall, Semenyih. - FOTO NSTP
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merasmikan pasar raya Lulu di Setia Ecohill Walk Mall, Semenyih. - FOTO NSTP
Redzuan Muharam


Semenyih: Lulu Group, pengendali runcit terbesar di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara mengukuhkan lagi kehadirannya dengan membuka pasar raya kelima di Setia Ecohill Mall.

Ia mempunyai keluasan sekitar 36,000 kaki persegi dan direka bentuk menggunakan konsep ruang runcit terkini serta teknologi paling moden untuk kemudahan membeli-belah yang akan memanfaatkan 600,000 penduduk setempat.

Pengarah LuLu Group Malaysia dan Indonesia, Asif MA dalam kenyataan berkata, nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan RM130.7 bilion pada Julai lalu dan ia mencatatkan pertumbuhan 41 peratus tahun ke tahun.

Katanya, jualan perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan 37.5 peratus berbanding Julai tahun lalu.

"Kumpulan yang menyumbang kepada pengembangan ini ialah jualan runcit bahan api automotif di kedai khusus (73.7 peratus), jualan runcit barangan lain di kedai khusus (47.1 peratus) dan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (39.1 peratus)," katanya.

Pasar raya Lulu dan gedung serbanekanya menawarkan pilihan terluas produk berkualiti tinggi dan kos rendah di bawah satu bumbung.

Bersempena dengan majlis perasmian semalam yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Pasar Raya Lulu di Setia Ecohill Mall memberikan banyak tawaran istimewa dan aktiviti menarik untuk pelanggan.

Diskaun bagi barangan dan tawaran harga terbaik yang tidak boleh dilepaskan untuk barangan segar dan runcit bersama dengan hadiah percuma untuk pelanggan awal menjadi tarikan utama pembeli semasa pembukaan.

Pasar raya itu terletak di aras satu manakala gedung serbaneka di aras dua dengan premis mempunyai bahagian khusus untuk barangan runcit, produk tenusu, ikan dan makanan laut, buah-buahan dan sayur-sayuran, daging dan ayam, barangan kering, pakaian, elektronik, teknologi maklumat (IT) serta alat tulis.

Pasar Raya Lulu juga menawarkan rangkaian luas produk tempatan yang mendapat permintaan ramai selain produk import serta barangan keluaran United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS ) yang dibawa dari syarikat Lulu Group di seluruh dunia.

Gedung serbaneka LuLu pula terdiri daripada LuLu Fashion Store, yang menampilkan label fesyen tempatan dan antarabangsa manakala LuLu Connect menawarkan peralatan elektronik termasuk telefon pintar dan peralatan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 3:34 PM