PELANGGAN turut menikmati kek simbolik ‘Fiesta Makanan 2016’ sepanjang 10 meter di Pasaraya Lulu.
PELANGGAN turut menikmati kek simbolik ‘Fiesta Makanan 2016’ sepanjang 10 meter di Pasaraya Lulu.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Lulu Group Retail Sdn Bhd (Lulu Group), pemilik rantaian pasar besar global dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Lulu Hypermarket menganjurkan promosi MyMalaysia dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bertujuan mempromosikan produk tempatan sempena sambutan Hari Kebangsaan, esok.

Melalui kempen itu, syarikat terbabit menyediakan 12 kios kepada pengusaha tempatan daripada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan agensi MOA iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mempromosikan produk masing-masing pada rak istimewa di pintu masuk Lulu Hypermarket sepanjang bermula 25 Ogos hingga 11 September ini.

Pengurus Serantaunya, Shihan N Yousaf berkata, syarikat itu sentiasa komited dalam membantu usahawan tempatan mempromosi dan menjual produk masing-masing melalui cawangannya di mana Lulu Group juga adalah pengimport terbesar bagi barangan kategori pertanian dan bukan makanan Malaysia ke Timur Tengah.

Menurutnya, sebanyak 30 unit simpanan stok (SKU) produk Malaysia sudah dipasarkan ke 125 cawangan di Asia Barat dan India di samping satu cawangan di Indonesia.

“Selain mengimport produk Malaysia, kami meningkatkan komitmen melakukan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini melalui lima lagi cawangan baru di Malaysia iaitu di Bangi, Kota Bharu, Shah Alam, Setia Alam dan Johor Bahru yang akan dibuka pada 2018,” katanya pada majlis pelancaran kempen MyMalaysia oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, semalam.

Selain kempen promosi, pasar raya besar terbabit turut menawarkan harga istimewa sempena sambutan kemerdekaan dengan potongan sehingga 70 peratus untuk pelbagai barangan.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, pasar raya utama di negara ini digesa mempromosikan produk tempatan terutama yang dihasilkan oleh syarikat PKS secara lebih agresif.

Menurutnya, pengurusan pasar raya besar juga boleh memberi ruang secara percuma kepada pengusaha tempatan untuk mempromosikan produk masing-masing bagi tempoh tertentu di samping memberi ruang kepada lebih banyak produk tempatan untuk dipasarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 7:37 AM