FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Konglomerat Lulu Group International akan melakukan saringan serta memilih beberapa syarikat yang mempunyai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi membantu pengusaha terbabit memperluas pasaran ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain menembusi pasaran negara lain termasuk India.

Ini susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan Lulu Group pada acara Ekspo 2020 Dubai, baru-baru ini serta Misi Perdagangan dan Pelaburan diketuai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tahun lepas.

"Daripada 43 syarikat berasaskan minyak sawit yang memaparkan produk masing-masing, Lulu yang juga pengendali rangkaian pasar raya besar dan runcit akan memilih beberapa syarikat mempunyai MSPO dan kapasiti sedia ada untuk mengeksport, mengeluarkan produk seperti minyak masak, kosmetik, minuman, makan sejuk beku, farmaesutikal dan konfeksioneri," kata Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Wan Aishah Wan Hamid kepada Bernama.

Syarikat terpilih itu adalah tambahan kepada enam pengeluar tempatan sedia ada yang menjadi pembekal Lulu Hypermarket di Silicon Oasis, Dubai di bawah kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Dengan Kebaikan pada Februari-April 2022.

MPOC menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menganjurkan program penyumberan itu bagi produk berasaskan minyak sawit.

"Kami yakin kerjasama ini dapat membantu pengusaha mengembangkan kehadiran mereka, mempromosi dan menjual jenama tempatan di pasaran antarabangsa menerusi rangkaian pasar raya Lulu di UAE.

"Ini juga sebahagian daripada inisiatif global MPOC yang sedang dijalankan bagi mempromosi dan menyebarkan kesedaran mengenai kebaikan serta manfaat minyak sawit Malaysia kepada pengguna," katanya.

Menurut Wan Aishah, majlis itu turut meninjau potensi kerjasama dengan rangkaian pasar raya besar lain di rantau berkenaan untuk mengembangkan lagi pasaran bagi pengeluar minyak sawit Malaysia di peringkat global.

Beliau berkata, usaha itu kelangsungan daripada inisiatif eksport MPOC dengan lebih banyak cawangan pasar raya besar dan perniagaan di rantau membuka peluang untuk minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya.

"Sebagai antara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit global, kita sedang berusaha memenuhi permintaan bagi minyak dan lemak selain membantu memastikan aspek jaminan dan keselamatan makanan dunia," katanya.

Lulu Group adalah sebuah konglomerat multinasional India yang mengendalikan 224 premis runcit di 22 negara di serata dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 8:32 AM