GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

SIME Darby Motors mengenal pasti lokasi bagi stesen pengecas kenderaan elektrik EV di setiap 200 hingga 300 kilometer di sepanjang lebuh raya seluruh Semenanjung Malaysia untuk memastikan semua kawasan kepadatan tinggi berdekatan dengan stesen pengecas.

Sebahagian daripada usaha ini termasuk memastikan ketersediaan perkhidmatan sokongan yang inovatif dan mudah bagi semua pelanggan, sama ada baru atau lama, yang membeli EV daripada Sime Darby Motors.

Auto Bavaria, kumpulan pengedar BMW yang terbesar dan paling lama beroperasi di Malaysia, menerajui usaha membina infrastruktur pengecasan terbabit.

Dengan rangkaian luas kemudahan pengecas pantas arus terus (DC) dan arus ulang alik (AC), sebanyak 33 kemudahan pengecas kini beroperasi di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Pengarah Urusan Bahagian Peruncitan & Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan berkata, sebagai peserta industri automatif yang utama di Malaysia, syarikat terus memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.

"Kami giat melaksanakan rancangan untuk membina stesen-stesen pengecas EV di jalan raya dan lebuh raya dengan matlamat meningkatkan kadar penggunaan EV.

"Kami juga berbesar hati menawarkan pengalaman pelanggan unik Sime Darby Motors bagi pemilik EV Sime Darby Motors yang menjanjikan pengalaman pemilikan EV terbaik bagi semua jenama Sime Darby Motors," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 7:01 AM