RUANG pameran Porsche di Kuala Lumpur.
RUANG pameran Porsche di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Malaysia menjadi negara pilihan Porsche AG sebagai destinasi pertama luar Eropah untuk kerja pemasangan kereta sports jenama Porsche bagi pasaran domestik.

Ia akan dijayakan melalui kerjasama antara Sime Darby Berhad dan Porsche AG dengan kilang pemasangan tempatan model (CKD) di Kulim, Kedah bakal beroperasi menjelang 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, kerjasama dengan Porsche menandakan hubungan yang kukuh melalui cabang automotifnya, Sime Darby Motors sejak 11 tahun lalu.

"Selama ini, Sime Darby Motors bertindak sebagai pengedar eksklusif kenderaan Porsche. Kerjasama yang dijalin bagi kerja pemasangan menandakan satu penghormatan buat kami.

"Kami diberi kepercayaan untuk memasang kenderaan bagi salah satu jenama kereta sports yang paling dikagumi di dunia melalui bakat Malaysia yang sangat berkelayakan yang kami ada di Sime Darby," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, portfolio pemasangan kenderaan adalah elemen utama dalam strategi pertumbuhan Kumpulan dan kerjasama dengan Porsche ini melangkaui sekadar aspek pengedaran dan penjualan sebaliknya kini meliputi kerja pemasangan.

"Setiap Porsche yang dipasang di Sime Darby akan melalui proses dan standard ketat sebagaimana di Eropah.

"Kualiti akan menjadi komitmen utama kami dalam kerja pemasangan ini kelak. Kami akan bekerjasama rapat dengan Porsche AG bagi memastikan standard ini dipatuhi," katanya.

Katanya, kemudahan pengeluaran dan pemasangan kenderaan Sime Darby kini juga turut menjadi pilihan bagi beberapa jenama automotif global yang lain.

Disokong oleh tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi, Sime Darby mengeluarkan 17,141 unit pada tahun kewangan 2021.

Sime Darby juga, katanya, bekerjasama dengan vendor tempatan dalam memberikan sokongan bekalan dan pengeluaran yang lancar.

"Dengan kerjasama ini, Sime Darby dapat memainkan peranan dalam membantu mengembangkan dan mempromosikan vendor tempatan, sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif Jualan dan Pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen berkata, Malaysia dan seluruh wilayah Asean memiliki potensi hebat dan pihaknya akan pastikan model pertama yang dipasang di Malaysia ini akan menemui pelanggan Malaysia pada tahun depan.

"Ketika Porsche bergerak ke era mobiliti baru, Malaysia dan rantau Asean menjadi pasaran yang semakin penting. Langkah ini adalah sebahagian dari inisiatif mengikuti permintaan pelanggan dan pasaran yang berkembang pesat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:02 AM