Pelancaran kereta elektrik BYD ATTO 3. - FOTO  NSTP
Pelancaran kereta elektrik BYD ATTO 3. - FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sime Darby Motors, cabang automotif Sime Darby Bhd telah dilantik sebagai pengedar eksklusif rasmi kenderaan elektrik penumpang (EV) BYD dan memperuntukkan sebanyak RM500 juta di Malaysia dalam tempoh dua tahun.

Sime Darby Motors dan BYD mencatatkan pencapaian penting dengan membawa masuk EV BYD yang pertama ke pasaran kenderaan penumpang di Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Sime Darby Motors merintis jalan untuk memacu ekosistem EV di Malaysia menerusi pelantikan pengedar EV baharu itu dan perkhidmatan 'aftermarket' (lepasan pasaran) untuk segmen domestik.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap kerjasama sebegini akan memacu pembangunan melangkaui pengedaran EV dan ke dalam pembuatan komponen kritikal seperti bateri EV, BYD adalah jenama yang terkenal," katanya pada perasmian BYD di Malaysia oleh Sime Darby Motors di Bandar Malaysia, hari ini.

Tengku Zafrul juga berkata kerajaan akan terus menyediakan insentif untuk pemasangan tempatan atau pembuatan kenderaan cekap tenaga termasuk EV serta pembuat komponen atau pengilang peralatan asal (OEM) bagi merangsang pelaburan dan mempercepatkan pembangunan ekosistem EV.

Sementara itu dalam kenyataan bersama yang berasingan, BYD dan Sime Darby Motors berkata peruntukan RM500 juta itu adalah untuk mewujudkan rangkaian luas bilik pameran BYD dan juga kemudahan pengecasan untuk memenuhi permintaan negara yang semakin meningkat untuk EV,

"Bilik pameran pertama dijadual akan dibuka pada pertengahan Disember 2022 di TREC KL di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Ia akan diikuti oleh tiga lagi bilik pameran di Ara Damansara (Selangor), Pulau Pinang dan Johor menjelang separuh pertama 2023.

Kenyataan itu berkata menjelang akhir 2023 dengan sokongan rakan kongsi pengedar, Sime Darby Motors dan BYD menjangkakan untuk menambah bilangan bilik pameran di negara ini kepada 20 dan jumlahnya akan meningkat dua kali ganda pada 2024.

Perkongsian Sime Darby Motors dan BYD adalah sebahagian daripada komitmen syarikat automotif itu untuk mempercepatkan peralihan kepada EV dan masa depan mobiliti rendah karbon untuk Malaysia.

"Dengan membawa EV BYD yang merupakan ejen perubahan ke pasaran, Sime Darby Motors merintis jalan dalam memacu ekosistem EV Malaysia dan menyokong pembangunan negara sebagai hab lestari di rantau ini.

"Langkah tersebut juga bakal meluaskan operasi global BYD. Usaha ini juga bakal meluaskan operasi global BYD," kata kenyataan tesebut.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Andrew Basham berkata seiring dengan matlamatnya untuk menjadi peneraju dalam EV dan memacu aspirasi EV Malaysia, syarikat itu teruja untuk memulakan lembaran baharu itu bersama BYD berikutan kejayaannya di Singapura.

"Dengan setengah bilion ringgit dilaburkan, ia akan menyokong rancangan pengembangan agresif kami untuk jenama itu di Malaysia dan mencerminkan kepercayaan kami terhadap daya tarikan sejagat jenama itu.

"Barisan kenderaan bertaraf dunia BYD yang menampilkan spesifikasi premium pada harga yang menarik, ia akan membawa perubahan dalam merangsang penggunaan EV di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Kenyataan itu berkata BYD ATTO 3 pacuan kuasa elektrik sepenuhnya, kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama yang dibina pada e-platform 3.0 BYD, direka khas sebagai EV berprestasi tinggi, memberikan kepintaran, kecekapan dan keselamatan dan estetika yang tiada tandingan.

"Memiliki bateri yang sangat baik, BYD ATTO 3 boleh bergerak sehingga 480km dengan sekali cas, membolehkan pemandu pergi lebih jauh dan menjimatkan masa semasa mengecas. Dengan reka bentuk moden dan bersih ditambah dengan ciri-ciri pantas, bertenaga dan dinamik, BYD ATTO meningkatkan tahap segmen SUV," katanya.

BYD ATTO 3 boleh didapati dalam dua varian, berharga daripada RM149,800 untuk varian standard dan RM167,800 untuk varian lanjutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 6:55 PM