JARINGAN lebuh raya utama memberi kemudahan kepada pemain industri.
JARINGAN lebuh raya utama memberi kemudahan kepada pemain industri.
Hafiz Ithnin


Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property), Mitsui & Co. Ltd dan Mitsubishi Estate Co.Ltd melalui usaha sama mereka Sime Darby Property MIT Development Sdn Bhd (SDPMIT) menandakan satu detik pencapaian penting dengan permulaan kerja tanah bagi projek terbaharunya di Bandar Bukit Raja Industrial Gateway di Klang.

Projek Gudang Siap Dibina (RBW) itu sudah memperoleh komitmen penyewaan untuk keseluruhan gudang sebuah syarikat logistik dan pengurusan rantaian bekalan global, CEVA Logistics (CEVA).

Turut sama, penyedia perkhidmatan pengembangan pasaran FMCG tempatan yang terkemuka di Malaysia, SL Ng.

Kedua-dua syarikat akan bertempat di gudang dua tingkat ini dengan keluasan lantai kasar seluas kira-kira 487,000 kaki persegi.

Ia adalah projek ketiga yang dibangunkan SDPMIT di Bandar Bukit Raja Industrial Gateway yang bertujuan menyediakan penyelesaian untuk industri rantaian bekalan global, menampilkan infrastruktur yang menawarkan keboleh skalaan operasi dan teknologi serta ketersambungan dengan lebuh raya utama.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, klien boleh menjangkakan rangkaian ciri-ciri moden yang komprehensif daripada RBW yang dibina di Bandar Bukit Raja Industrial Gateway dan dialu-alukan untuk bekerjasama rapat dengan pihak SDPMIT untuk penyesuaian ciri-ciri aset bagi memenuhi keperluan operasi mereka.

"Permintaan pasaran untuk produk perindustrian dan logistik kekal kukuh selain kami akan terus menyediakan kemudahan komprehensif yang memenuhi keperluan pelanggan kami.

LUKISAN artis pusat komersial industri yang dibangunkan Sime Darby Property.
LUKISAN artis pusat komersial industri yang dibangunkan Sime Darby Property.

"Lokasi strategik Bandar Bukit Raja Industrial Gateway yang bersepadu dengan ekosistem sekitarnya juga menawarkan akses mudah kepada rangkaian jalan raya yang berhubung dengan pelabuhan dan lapangan terbang serta kawasan perumahan yang berdekatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mitsui & Co. (Malaysia) Sdn Bhd dan Presiden Dewan Perdagangan & Industri Jepun Malaysia (JACTIM), Daiji Kojima berkata, beliau bangga untuk bekerjasama dengan pemain logistik terkemuka di peringkat global dan tempatan seperti CEVA Logistics dan SL Ng.

"Pembangunan di Bandar Bukit Raja ini melambangkan satu hab perindustrian bertaraf dunia di Malaysia dan ia menjadi hasrat kami untuk terus menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang disesuaikan mengikut keperluan perniagaan serta operasi pelanggan kami," katanya.

Bandar Bukit Raja Industrial Gateway seluas 15.7 hektar ini merangkumi 10 plot untuk penyediaan fasiliti bertaraf Gred A yang boleh disesuaikan mengikut permintaan pelanggan.

BANDAR Bukit Raja Industrial Gateway mendapat perhatian pemain industri global.
BANDAR Bukit Raja Industrial Gateway mendapat perhatian pemain industri global.

Dua projek terbina untuk spesifikasi yang sudah siap seluas 384,000 kaki persegi kini diduduki sepenuhnya apabila projek pertama diserahkan kepada Senheng Electric (KL) Sdn Bhd pada 2020.

Manakala Leschaco (Malaysia) Sdn Bhd dan CEVA Logistics menerima produk yang dikongsi bersama setahun kemudian.

Pembinaan RBW ini sudah bermula dan dijangka siap pada separuh kedua tahun 2023. Kedua-dua projek selebihnya kini dalam pelbagai peringkat rundingan dengan bakal penyewa termasuk penyedia logistik pihak ketiga, pusat pergudangan dan pengedaran serta pengendali logistik rangkaian sejuk.

Sambutan terhadap RBW ini menunjukkan keboleh pasaran Bandar Bukit Raja untuk memenuhi keperluan global yang semakin meningkat untuk produk-produk logistik yang berkualiti tinggi, infrastruktur serta pengurusan rantaian bekalan yang cekap.

Bandar Bukit Raja mudah diakses melalui lebuh raya utama seperti Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang baharu dibuka.

Lebuh raya ini menghubungkan Bandar Bukit Raja ke hab logistik utama seperti Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta taman perindustrian milik Sime Darby Property yang terletak di Bandar Elmina, Bandar Serenia dan Bandar Hamilton Nilai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 6:35 AM