ZURINA (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM5,000 kepada wakil Komuniti Garden 8.
ZURINA (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM5,000 kepada wakil Komuniti Garden 8.

AGROBANK terus memainkan peranan dalam menyokong aktiviti agromakanan negara.

Ketua Pegawai Pengurusan Kredit Agrobank, Zurina Othman berkata, pihaknya komited memainkan peranan sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam menyumbang kepada pembangunan sistem makanan lebih bersepadu di masa hadapan.

"Kami juga terus menggalakkan aktiviti berkaitan jaminan bekalan makanan negara yang berupaya mengukuhkan lagi sistem keselamatan makanan melalui pelbagai program komuniti dan perniagaan kami.

'Ia termasuk menerusi penawaran perkhidmatan dan produk pembiayaan komprehensif," katanya dalam kenyataan selepas menyumbang dana permulaan RM5,000 kepada Kebun Komuniti Garden 8, Taman Perwira, Gombak bagi mengembangkan lagi potensi aktiviti pertanian bandar mereka.

Kebun komuniti itu adalah komitmen penduduk taman berkenaan yang giat mempromosikan konsep kejiranan lestari di lorong belakang perumahan mereka sekali gus menggalakkan aktiviti pertanian pintar di kawasan perumahan bandar.

Agrobank terus memberikan sokongan dan galakan kepada komuniti Garden 8, dan juga komuniti Agro di kawasan perumahan yang lain untuk menggalakkan aktiviti pertanian pintar di bandar dan luar bandar.

Katanya, pihaknya difahamkan inisiatif itu dimulakan komuniti penduduk Taman Perwira yang terdiri daripada 33 ahli kejiranan sejak September 2021.

"Selain menjalankan aktiviti pertanian bagi pelbagai jenis tanaman bunga, sayuran dan herba bagi memanfaatkan sepenuhnya ruang lorong belakang yang sedia ada, saya dimaklumkan mereka turut menerapkan konsep lestari seperti Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH), kitar semula, penggunaan baja kompos dan tenaga solar dalam pembangunan Kebun Komuniti Garden 8 ini.

"Mereka sanggup meluangkan masa dan tenaga serta berkongsi dana bagi mengindahkan lorong belakang rumah dengan membina laluan pejalan kaki, memasang rumput karpet, membina pintu gerbang serta menambah pelbagai dekorasi menarik, di samping mengeratkan silaturahim sesama jiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 7:10 AM