Zuraida melancarkan Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB), hari ini. FOTO IHSAN KPKT
Zuraida melancarkan Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB), hari ini. FOTO IHSAN KPKT
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mengoptimumkan penggunaan tanah dan ruang persekitaran antara fokus utama Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) yang dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, hari ini.

Menurutnya, DKKB menyasarkan setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan memiliki sebuah kebun komuniti.

"Dasar ini memfokuskan untuk membangunkan kebun komuniti secara tersusun, sistematik, organik dan mampan di kawasan bandar.

"Ia diperkenalkan selari dengan peranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai peneraju kemakmuran komuniti bandar dan persekitaran mampan," katanya dalam majlis pelancaran DKKB secara maya, hari ini.

Beliau berkata, DKKB dibangunkan bersama garis panduan yang komprehensif daripada aspek mengurus, merancang, reka bentuk, membangun dan melaksanakan kebun komuniti secara teratur mengikut peraturan dan prosedur sedia ada.

Katanya, penggubalan DKKB membabitkan jalinan kerjasama dengan organisasi kerajaan dan rakan bukan kerajaan yang relevan.

"Antara rakan strategik tersebut adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Jabatan Pertanian, Natural Farming Association, Seeds Malaysia, Koperasi Kebuniti Selangor, Yayasan Hijau Malaysia, Persatuan Lestari Alam dan pihak berkuasa tempatan.

"KPKT juga berhasrat menjadikan Program Kebun Komuniti sebagai amalan perkebunan berhemah dalam bandar untuk memastikan rakyat dapat meraih hasil makanan yang segar, bebas kimia dan berkualiti untuk keperluan harian di samping menjana sumber pendapatan alternatif," katanya.

Menurutnya, dasar ini juga menggalakkan penyediaan sumber bahan makanan tersedia dari kebun ke meja makan.

Katanya, DKKB adalah dasar serampang dua mata yang dapat menangani cabaran baharu berikutan kepesatan pembangunan negara selain penularan wabak Covid-19.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 12:47 PM