KAUNTER Agrobank Beluran. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
KAUNTER Agrobank Beluran. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Agrobank membuka cawangan ke-139 di Pekan Beluran bagi memberi perkhidmatan perbankan kepada masyarakat di luar bandar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya memahami permasalahan yang dihadapi penduduk, lebih-lebih lagi di Parlimen Beluran yang terpaksa ke bandar Sandakan untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan.

Menurutnya, jarak perjalanan ke bandar itu sejauh 82 kilometer dan keadaan itu ternyata menyukarkan penduduk dan masyarakat setempat.

"Saya yakin, pembukaan Agrobank Cawangan Beluran ini adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan.

"Menerusi cawangan Agrobank di sini, diharapkan agar kegiatan ekonomi penduduk juga dapat dipertingkatkan terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang holistik dan mampan.

"Besar harapan saya agar dengan potensi ekonomi yang besar di Beluran, Agrobank dapat menjadi sebahagian daripada komuniti di Beluran dan bersama-sama membantu penduduk di sini meningkatkan kemajuan sektor ekonomi khususnya sektor pertanian," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Agrobank Beluran, di Pekan Beluran, hari ini.

RONALD merasmikan pembukaan cawangan Agrobank yang baharu di Beluran. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
RONALD merasmikan pembukaan cawangan Agrobank yang baharu di Beluran. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

Ronald berkata, jika diimbas kembali, Agrobank merupakan peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai di Malaysia.

"Agrobank yang ditubuhkan pada 1969 secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia.

"Bank ini menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro.

"Ia juga antara lainnya menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian, merangkumi aktiviti huluan (upstream) seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan aktiviti hiliran (downstream) seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna," katanya.

Menurutnya, masyarakat Beluran bertuah kerana Agrobank meluaskan rangkaian cawangannya di Sabah dengan pembukaan cawangannya yang ke-139 di sini.

"Untuk rekod, dari 1 Januari 2021 hingga 31 Oktober 2021, sejumlah RM91 juta kelulusan pembiayaan Agrobank dicatatkan di Sabah.

"Daripada jumlah itu, RM2.8 juta pembiayaan terkumpul dicatatkan di Kawasan Beluran yang memanfaatkan seramai 90 orang penerima," katanya.

Menurutnya, kerajaan melalui Agrobank akan terus membantu dalam pembangunan sektor mikro yang menawarkan pembiayaan mikro sehingga RM75,000 tanpa kadar keuntungan bagi tempoh enam bulan pertama beserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan pada tahun 2022.

"Ini menunjukkan kerajaan sentiasa komited untuk membantu usahawan mikro di luar sana.

"Namun, usaha ini perlu dilaksanakan bersama-sama dengan semua pihak termasuk penglibatan pihak swasta.

"Oleh yang demikian, saya menyeru usahawan tani khususnya penduduk di Beluran supaya terus meneroka dan merebut peluang yang tersedia untuk sama-sama memajukan sektor pertanian negara," katanya.

Ronald berkata, sudah menjadi harapan pihaknya supaya kerjasama strategik bersama Agrobank terus diperkukuh pada masa akan datang.

Sementara itu, Penanggung Tugas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, cawangan Agrobank di Beluran mempunyai potensi yang besar dalam membantu mengukuhkan ekonomi setempat.

Menurutnya, ini kerana kewujudan kegiatan pertanian di daerah itu yang unik.

"Kami komited dan optimis mampu membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat menerusi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Agrobank kerana ia meliputi semua proses di sepanjang rantaian nilai pertanian.

"Sebagai sebuah bank yang bertanggungjawab untuk memajukan pembangunan sektor pertanian menerusi pembiayaan yang menyeluruh, ini menunjukkan, pembukaan Agrobank di sini adalah sangat tepat.

"Sebelum ini, penerima pembiayaan ini terpaksa ke Sandakan dengan jarak perjalanan yang jauh untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan," katanya.

Menurutnya, pihaknyan berharap, pembukaan cawangan itu akan membantu komuniti setempat untuk berjaya dalam sektor pertanian menerusi perkhidmatan perbankan yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 2:39 PM